Friday, October 14, 2011

Ilmu Pelita Hidup Penyuluh Jalan Kemenangan

Salam blog. Sorry sebab lama tak update. Memang rasa tak sempat sangat nak fikir lama-lama untuk tulis kat blog ni. Kebetulan hari ni mencari artikel-artikel sendiri yang terperuk dalam laptop ni untuk diletakkan dalam risalah. Untuk itu, terfikirla nak copy paste je artikel lama ni. Moga ada manfaatnya.


Saya baru je lepas tengok video tentang tanda-tanda kebesaran ALLAH melalui satu kajian yang dibuat terhadap kandungan surah Ar-Rahman. Subhanallah, sungguh menakjubkan bila tengok betul-betul ada pertemuan antara air masin dan air tawar.


Ia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu;

Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing
-masing tidak melampaui sempadannya;

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yan
g kamu hendak dustakan?
(Ar-Rahman : 19-21)



Bukan itu yang ingin saya kupas sebab saya tahu mungkin dah ramai juga yang familiar tentang video macamni. Sebaiknya, kita semua turut sama mencari dan meneliti seberapa banyak maklumat mengenai kajian tersebut, dan menghubungkaitkan setiap sesuatu dengan kebesaran ALLAH. Namun yang benar-benar menjadi fikiran saya beberapa waktu ini adalah mengenai ilmu.

Lihatlah berapa banyak ayat di dalam al-Quran yang menyuruh kita menuntut ilmu? Berapa banyak pula ayat di dalam Quran juga hadith yang menyatakan kelebihan menuntut ilmu dan menyampaikan ilmu? Bukankah manusia diciptakan untuk menjadi hamba ALLAH, jua sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi? Maka bagaimana mungkin kita mampu mentadbir bumi tanpa ilmu penuh di dada? Benar, ilmu ALLAH itu luas. Jika habis air di lautan dijadikan dakwat untuk menulis ilmu ALLAH, dan ditambah satu lautan lagi, namun ilmu ALLAH itu tetap tidak dapat habis ditulis. Namun begitu, itu bukanlah alasan untuk kita terus berdiam diri tanpa mencari ilmu.


"ALLAH akan meninggikan darjat orang yang beriman di antara
kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) beberapa darjat." (Al-Mujaadalah : 11)






Hati saya bergetar saat membayangkan peritnya apabila umat Islam pada zaman kejatuhan Islam di Granada menyaksikan kitab-kitab mereka dibakar oleh tentera-tentera kristian. Kenapa kitab-kitab yang dibakar? Kerana mereka tahu, dengan ilmulah kita akan berjaya. Kerana suatu ketika dahulu juga, Islam menjadi gemilang dan terbilang antara lainnya adalah menerusi tinta-tinta yang mencatat ilmu. Dahulunya Cordova menjadi pusat ilmu pengetahuan di Eropah pada abad keempat Hijrah. Bangsa Eropah juga memperoleh manfaat daripada perkembangan ini. Mereka berpeluang mempelajari banyak ilmu Islam yang berkembang di seluruh Andalus. Ia bukan saja di Cordova, malah bandar lain seperti Seville, Toledo dan Granada. Itu belum lagi kita katakan tentang kota Baghdad yang memegang peranan dalam menyebarkan ilmu pengetahuan dan tamadun Islam. Masa muda seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya untuk belajar dan menyampaikan ilmu kepada orang lain.


Namun, perhatikanlah apa yang berlaku pada generasi muda Islam zaman kini. Saya perhatikan teman-teman yang bijak pandai, mereka yang mempunyai segulung ijazah, master, atau apa pun, namun entah kenapa tak mampu membawa mereka lebih DEKAT dengan TUHANnya. Benar, mereka masih berjaya dalam akademik dan kerjaya meskipun terang-terangan meringankan dan melanggar perintah ALLAH. Namun bagaimana caranya untuk kita kembalikan kegemilangan Islam andai belajar dan belajar setiap hari di universiti hanyalah untuk mendapatkan tangga gaji yang kita ingini. Masa-masa yang ada selalu kita penuhi bukan dengan cuba mengkaji ayat-ayat ALLAH, namun kita leka menonton movie, menghadap facebook, berchatting, bergayut di telefon, dan macam-macam lagi perkara yang entah macam mana dapat membantu dalam meningkatkan kualiti ummah. Perhatikan perkataan 'kita', menunjukkan betapa saya turut mengkoreksi diri. Benar, kini saya menginsafi betapa banyak masa terbuang sedangkan masa itu boleh dimanfaatkan sebaiknya untuk kita mendalami ilmu yang bukan sahaja dalam bidang kita. Masa itu boleh kita gunakan untuk cuba berkongsi buah fikiran yang membina, cuba menyampaikan apa yang kita tahu, dan banyak lagi aktiviti bermanfaat yang dapat mengukuhkan hubungan antara hamba dengan TUHANnya.

Saya tambah merasa parah bila melihat kelantangan seorang yang dahulunya muslim, giat menghina dan mempersendakan Islam, filem Melayu yang menyamatarafkan semua agama, tulisan-tulisan orientalis Barat yang memandang hina terhadap Rasulullah s.a.w., fitnah terhadap ayat-ayat Quran yang dicetuskan dalam Fitna, dan macam-macam lagi. Seharusnya kita yang cuba menerangkan kepada mereka tentang kebenaran dan kesyumulan ajaran Islam itu. Namun bagaimana jika umat Islam itu yang sangat cetek ilmu tentang Islam, lalu sesekali terasa goyah terhadap dakwaan-dakwaan mereka? Na'udzubillah. Namun hakikatnya perlu diterima, kerana sememangnya kita sudah dengar banyak kisah-kisah mereka yang berpaling dan murtad. Justeru, fahamilah wahai diri dan teman-teman. Dalam kita ghairah mencedok ilmu barat, mantapkanlah ilmu aqidah, dan ilmu-ilmu lainnya. Andai ada yang kita ragukan atau kurang jelas, bertanyalah pada mereka yang benar-benar bertauliah. Kerana itu, kita benar-benar dianjurkan untuk berbaik dengan golongan ulama'. Kita perlu sentiasa belajar dan tahu banyak perkara tentang agama kita, agar dapat mematahkan hujah-hujah mereka yang sewenangnya mempersenda agama kita. Atau sekurang-kurangnya untuk kemantapan keyakinan kita sendiri.

Jadikanlah amalan membaca budaya kita. Itu yang sering kita dengar dan kerap dinyanyikan. Namun perhatikanlah bahan bacaan kita. Kita adalah apa yang kita baca. Bersamalah kita utamakan membaca al-Quran, memahami, menghayati, dan mengkaji agar kita dapat mengamalkan isinya dengan penuh rasa yakin. Sama-samalah kita usahakan agar Islam kembali gemilang. Insafilah ayat-ayat yang menyeru kita agar menuntut ilmu. Mulakan dengan niat yang betul, terus membaca bahan bacaan yang betul, bertanya dengan orang yang betul, dan jalani hidup dengan cara yang betul mengikut yang telah digariskan dalam al-Quran dan sunnah. Andainya kita pernah tersasar jalan, sama-samalah kita taubat nasuha. Taubat yang sebenar taubat agar kita berjaya.

Maksudnya : Dan beraubatlah kamu sekalian kepada ALLAH, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (Surah an-Nur : 31)


Dalam zaman semua ada di hujung jari ni, lagi mudah untuk kita dapatkan ilmu. Semuanya antara nak ddengan tak nak je kan. Kalau kat youtube tu, kita type je nama para ilmuan terkenal, dalam dan luar negara, ada macam-macam ilmu yang kita boleh dapat. Sekali lagi, semuanya hanya antara nak dengan tak nak. Oleh itu, mari kita usahakan sikit demi sikit untuk jadi seseorang yang lebih baik dari sebelum ni. Cuba untuk tukarkan bahan bacaan yang kurang bermanfaat kepada bahan bacaan yang lebih membina. Ya, setiap hari katakan pada diri, hari ini mesti lebih baik daripada semalam. Di samping tu, jangan lupa panjatkan doa supaya ALLAH beri kekuatan untuk kita berubah menjadi lebih baik, inshaALLAH. :)

Saya mengharapkan bantuan teman-teman agar mengingatkan saya saat saya terleka. Sama-samalah kita berpesan-pesan dengan dengan kebenaran dan kesabaran agar kita tak termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi.


Sekian saja, buat kali ni. Salam sayang untuk semua. :)


"Ya Muqallibalqulub tsabbit qalbi 'alaa diniik watsabbit qalbi 'ala thaa'atik."
"Wahai Yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami atas agamaMU dan atas ketaatan kepadaMU. amiin."