Monday, December 5, 2011

Promosi Hebat Untuk Wanita

Salam Blog!

Harini sekadar nak share satu promosi hebat untuk semua perempuan yang ada di muka bumi ni. Promosi discount produk kecantikan ke? Bukan, bukan, bukan tu. Tapi, hari ni nak share jalan mudah ke syurga. Jalan-jalan yang ALLAH dah sediakan bagi memudahkan kita yang bernama wanita ini untuk menuju ke syurga. Apa dia tu? Jom baca lagi... :)


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Sabda Rasulullah s.a.w. : "Apabila seseorang wanita berbakti kepada suaminya, mengerjakan solat lima waktu, dan memelihara kehormatannya, nescaya dia akan memasuki syurga TUHANnya."(Riwayat Ahmad)
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Subhanallah, besarnya peluang yang ALLAH bagi untuk kita yang bergelar muslimah. Cuma kita sahaja, antara nak dengan nak tak. Ok, katakan taknak pada rokok! Tapi sanggup ke kita cakap tak nak pada syurga? Sedangkan syurga itu terlalu indah dan tak mampu digambarkan dengan kata-kata. Sedangkan syurga itu, bila dipandang sahaja, boleh buat kita terdiam kagum bertahun lamanya. Sedangkan syurga itu tempat yang membolehkan kita minta apa sahaja nikmat. Sedangkan syurga itu adalah tempat indah yang aman tanpa sengketa di mana semua penghuninya saling sering menghulurkan salam.

Berbakti kepada suaminya

Syurga itu tertutup keindahannya dengan jalan-jalan yang dirasakan sukar. Berbakti kepada suami bermakna kita harus bersedia dari aspek mental, rohani, dan jasmani. Bersedia untuk menjadi teman baik yang setia mendengar segala cerita, menjadi penguat tika duka, menjadi penyuntik semangat untuk menjadi hamba ALLAH yang lebih baik, menjadi chef sekaligus teman di meja makan, bersedia untuk menyayangi sepenuh hati, menjadi penasihat kewangan yang bijaksana, dan macam-macam lagi. Pendek kata, teramat banyak persediaan yang perlu dilakukan untuk memastikan suami sentiasa bahagia dan redha terhadap kita. Bukankah redha ALLAH itu terletak pada redha seorang suami? Banyak ilmu perlu dipelajari, seiring dengan usaha praktikal seiring teori yang kita baca. Justeru fikir-fikirkanlah, adakah berhubung terus-menerus dengan orang yang kita rasakan sebagai bakal suami itu mampu membantu meningkatkan diri kita, lalu menyediakan diri sebagai pakej isteri solehah idaman yang sedia berbakti untuk suami? Hakikatnya, persediaan diri ini tak mampu dibuat sekadar dalam sehari dua ataupun di saat seminggu menanti tarikh pernikahan. Menjadi solehah adalah ongoing process, kerana kita tak mampu untuk berubah secara drastik. Jadi, kalau seminggu atau sehari, tegakah kita menyerahkan diri yang masih belum mampu membahagiakan seseorang bernama suami?

Rumahku Syurgaku, perlukan usaha kita untuk merealisasikannya.


~Boleh click sini untuk tau antara ciri-ciri isteri solehah : (CLICK ME)


Mengerjakan solat lima waktu

Ini benda basic yang semua orang tau kan. Solat tiang agama, macam lagu kumpulan Saujana yang selalu keluar kat TV masa kita kecik-kecik dulu.. Sepohon kayu daunnya rendang, kalau tak sembahyang apa gunanya. Ya, hakikatnya solatlah perkara pertama yang akan dihisab nanti. Jadi, sila abaikan kata-kata yang berbunyi, "dah banyak benda baik yang aku buat kat dunia ni walaupun tak solat." Tapi kan, solat macam mana agaknya yang ALLAH pandang?

(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang -
(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;

(Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya),

Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya). (Al-Maa'un : 4-7)

Solat perlulah dilakukan dengan sepenuh hati dan bersungguh-sungguh, bukan bak kata orang, macam ayam patuk makanan. Kalau boleh, kita perlu faham setiap maksud dalam setiap rukun solat. Yakinlah, bila apa yang kita lakukan dengan anggota seiring dengan apa yang dilafazkan di lidah, juga yang kita benarjan dalam hati, cepat atau lambat, kita akan terhindar daripada melakukan perkara-perkara mungkar.

Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
(Al-'Ankabuut : 45)


Janji ALLAH adalah benar. Namun, kita juga perlu berusaha semampu kita untuk meningkatkan kualiti solat kita. Seperti yang tertulis dalam kalam ALLAH, surah Ar-Ra'd ayat kesebelas,

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."


Memelihara kehormatannya

Banyak sangat ayat ALLAH tentang bagaimana untuk kita memelihara kehormatan.

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (An-Nuur : 31)

Ada juga di dalam surah an-Nisa' ayat 34,

"Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya."

Tentulah suami merasa bahagia apabila isteri memperlihatkan kecantikan hanya untuk suaminya. Justeru, bahagiakanlah hati mereka dengan keluar daripada kebiasaan : berhias apabila keluar rumah, dan comot atau bosan dipandang bila berada di dalam rumah. Sebaliknya, jadilah wanita yang sentiasa berusaha untuk kelihatan cantik di hadapan suaminya.


Manfaatkanlah masa bergelar single (belum berkahwin) dengan menjadi benar-benar single. Huhu. Supaya masa tak disibukkan dengan perkara-perkara yang tak mendatangkan manfaat, dan paling menyedihkan bila mendatangkan murka ALLAH. Sediakan diri untuk jadi wanita solehah, inshaALLAH akan dapat yang soleh. Bila kita tinggalkan sesuatu yang semata-mata kerana mengharap keredhaan ALLAH, inshaALLAH kita akan merasa manisnya iman. :) Bersabarlah untuk beberapa ketika, agar kita dapat bahagia yang lebih lama. Di syurga dalam rumahtangga, dan syurga sebenar di akhirat nanti.

Sudah bertunang juga belum bererti kita sudah menjadi yang halal untuk dia.


Ok, bersedia untuk jadi wanita solehah, seterusnya mendapatkan syurga ALLAH? Usah bertangguh dan kita mulakan dari sekarang!


Let's start with the first step!

Wahai ALLAH, saksikanlah usaha kami untuk menggapai redhaMU, agar kami dapat bertemu denganMU di syurga nanti. Allahhumma aamiin.

~menulis untuk mengingatkan diri sendiri. :)

~Esok 10 Muharram kan? Jangan lupa puasa. Di samping tu, jom kita memperingati banyaknya kisah-kisah yang berlaku pada 10 Muharram ni. Mari sama-sama perbanyakkan baca Hasbiallah wani'mal wakiil. Ni'mal maulaa wani'mannasiir. Semoga bermula Muharram ini, diri kita menjadi jauh lebih baik daripada semalam. InshaALLAH. :)

Saturday, November 19, 2011

Bidadari

Salam. Hari ni saya nak bagi buah tangan bertajuk bidadari. Semoga para lelaki dapat menyuntik semangat untuk terus kuat beribadah, dan wanita terus meneguhkan diri untuk menjadi ketua bidadari. :)

"Uruban 'atraban (penuh cinta lagi sebaya umurnya)" (Al-Waqi'ah : 37)

Menurut Ibn Abbas, 'uruban ertinya bidadari ini sangat merindui dan mencintai suami-suami mereka. Mereka sering berkata, "Demi ALLAH, tidak ada di dalam syurga ini, sesuatu yang lebih indah daripada engkau. Demi ALLAH tidak ada di dalam syurga ini sesuatu yang lebih aku cintai daripada engkau." Demikian sebagaimana dinyatakan dalam hadis panjang riwayat Abu Ya'la daripada Abu Hurairah.

Kerana besarnya cinta seorang bidadari keada suaminya, mereka seringkali mengintip calon suaminya yang masih di dunia lagi. Mereka marah apabila melihat calon suaminya ini disakiti oleh isteri-isteri mereka di dunia.

At-Timirzi meriwayatkan daripada Muaz bin Jabal sabda Rasulullah saw yang bermaksud,

"Tidaklah seorang isteri menyakiti suaminya di dunia, melainkan isterinya dalam kalangan bidadari berkata, 'Celakalah engkau, ia hanya sementara bersamamu. Tidak lama lagi ia akan segera berpindah kepada kami."

Apabila kita renungkan berbagai-bagai nas yang menceritakan tentang bidadari syurga ini, kita akan dapati bahawa mereka ialah makhluk yang terlalu sempurna untuk dijangkau imaginasi manusia yang terbatas. Kecantikan, kejernihan, kelembutan, dan kewangian tubuh mereka mengatasi wanita mana pun di muka bumi ini.

ALLAH menyebut mereka dengan panggilan hurul ain, iaitu wanita yang berkulit putih dan bermata lebar dengan bola mata yang sangat hitam bak mata rusa yang sangat cantik. Begitu indah dan jernihnya tubuh mereka, sehingga seakan-akan mereka itu ialah permata yakut dan marjan. (Ar-Rahman : 58)

Dalam hadith al-Bukhari daripada Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud,

"Andai seorang wanita syurga menampilkan diri kepada penduduk dunia, nescaya teranglah apa yang ada di antara timur dan barat, penuhlah apa yang ada di antara kedua-duanya dengan wangian. Tudung yang menutup kepalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya."


MAS KAHWIN
Semua keindahan ini, bersama pelbagai keindahan lainnya yang tidak dapat kita bayangkan pada hari ini, disediakan untuk hamba-hamba ALLAH yang sejak di dunia menyediakan 'mas kahwin' untuk mereka. Dan mas kahwin itu tidak lain adalah pelbagai amalan ibadah dan pengorbanan di jalan ALLAH swt.

Imam al-Qurtubi dalam kitab al-Tazkirah bercerita tentang bapa Thabit al-Bunani, seorang ulama tabiin di Basrah. Suatu malam, beliau bermimpi melihat seorang wanita yang sangat cantik, tidak serupa dengan manusia mana pun.

Beliau bertanya kepadanya : "Siapa engkau?"

Ia menjawab : "Aku bidadari, hamba ALLAH."

Beliau berkata lagi : "Menikahlah denganku."

Wanita itu menjawab : "Pinanglah aku daripada TUHANku dan berilah mas kahwinnya."

Beliau bertanya : "Apa mas kahwinmu?"

Lalu ia menjawab : "Panjang bertahajjud."


Membayangkan kecantikan bidadari membuat setiap cabaran dalam ibadah terasa ringan. Keyakinan tentang bidadari membuat seseorang menundukkan pandangannya daripada aurat wanita di dunia.

Tutuplah auratmu kerana ALLAH, dan bantulah suamimu mendapatkan bidadari syurga.


WANITA-WANITA MUKMINAT LEBIH CANTIK DARIPADA BIDADARI SYURGA!

Secantik apa pun bidadari-bidadari ini, namun wanita-wanita mukminat jauh lebih cantik daripada mereka, iaitu orang-orang yang membasuh mukanya setiap hari dengan air wudhuk, melaksanakan solat, dan taat akan suaminya demi mencapai keredhaan ALLAH swt.

Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa,

Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh),


(Al-Waqiah : 35-36)


Menurut beberapa orang ahli tafsir, antara lain Abu al-Hasan al-Mawardi, ayat ini berbicara tentang wanita-wanita mukminat di dunia. ALLAH mengembalikan mereka menjadi gadis-gadis muda meskipun sebelumnya telah menjadi nenek tua yang lemah. Mereka akan dibangkitkan kembali sebagai wanita yang sangat cantik lalu dipersatukan kembali dengan suami-suami mereka di dunia.


KISAH UMMU DARDA'

Ummu Darda', nama asalnya ialah Hujaimah al-Himyariah. Beliau ialah isteri Abu Darda', seorang sahabat rasulullah saw yang hidup di Syam. Ummu Darda' dan Abu Darda' adalah pasangan bahagia.

Suatu hari, Ummu Darda' berdoa di hadapan suaminya, "Ya ALLAH, sesungguhnya Abu Darda' meminangku di dunia, lalu aku menikahinya. Maka sekarang aku meminangnya kepadaMU untuk menjadi suamiku di syurga."

Mendengar ucapan ini, Abu al-Darda' berkata, "Jika engkau ingin menjadi isteriku di syurga, janganlah menikah lagi setelah aku meninggal dunia."

Ummu al-Darda' seorang wanita yang cantik dan cerdas. Maka setelah Abu Darda' wafat, Khalifah Muawiyah bin Abi Sufyan datang untuk meminangnya. Namun, isteri yang setia dengan cinta pertamanya ini menolak pinangan tersebut.

Kisah Ummu al-Darda' mengingatkan kita bahawa cinta yang terjalin kerana ALLAH dan mengharapkan redha Ilahi tidak akan berakhir dengan kematian. Akan tetapi, akan terus menyala dan hidup kekal di dalam syurga abadi. :)


sumber asal : Majalah Solusi isu 24 - karya Umar M Noor.


~Terjumpa artikel dari blog lama yang dah hilang tu. Semoga bermanfaat untuk semua, dan juga diri sendiri yang menaip ni. :)

~Untuk para lelaki, semoga kisah bidadari akan menjadi inspirasi kalian dalam perjalanan meminang bidadari dunia dan bidadari syurga, inshaALLAH.

~Untuk para wanita, jom kita bersyukur dengan rupa kita apa adanya, dan usahakan untuk jadi isteri (atau bakal isteri) yang mentaati ALLAH dan suami. InshaALLAH kita akan jadi wanita yang lebih cantik daripada bidadari syurga.

Thursday, November 10, 2011

Andaiku Pergi

Salam.

Ada tinggal beberapa hari je lagi sebelum aku pulang semula ke UTM tercinta. Sebenarnya hati selalu rindu nak share macam-macam kat blog ni, tapi bila dah sampai UTM, memang rasanya tak sempat nak berbelog macamni. Kalau berfacebooking tu masih sempat sebab kita boleh post something, lepastu tinggalkan, dan kalau ada orang komen ke apa, semuanya keluar kat notification kan. Sebab memang segala kerja aku buat guna laptop, termasuk study. Macam blog ni, kita kena menghadap je depan laptop, fikir ayat-ayat dan cerita yang sesuai. Untuk orang yang banyak cakap macam aku ni, bila tulis satu topik je, kadang-kadang boleh terbelok-belok ke topik-topik lain. Nanti dah jadi macam post rojaklah pulak kan. Hehe. So, di kesempatan seminggu cuti ni, aku nak ambik kesempatan untuk share satu entry jugak.

Sebelum aku tulis post ni aku bukak Facebook macam biasa, aku tengok ramai sangat yang bersedih dengan kehilangan orang-orang tersayang. Mak, ayah, kawan, suami, boyfriend, dan sebagainya. Semalam pulak, aku baru je balik dari ziarah jiran lama yang baru kehilangan ayah, dan neneknya. Dalam usia yang terlalu muda (sama umur dengan aku), dia terpaksa handle company arwah ayahnya. Dalam sekelip mata, kehilangan orang tersayang dan perlu pegang banyak tanggungjawab. Walau apapun, percayalah bahawa setiap ujian dan ketentuanNYA pasti ada hikmah yang besar, asalkan kita terus sabar, redha, dan berusaha dengan semampunya.

Aku pernah fikir, kalau dah jumpa dengan orang yang betul-betul baik, appreciate kewujudan aku, terima aku seadanya, inshaALLAH aku pun tak akan sanggup nak gantikan orang tu dengan orang lain. Lagipun, hidup kat dunia ni sementara je kan. Bila-bila je kita boleh berangkat ke alam sana. Dan, bagi aku, kalau tak dapat bersatu di dunia pun, biarlah dapat bahagia bersama-sama di akhirat sana. Di syurga, tempat bahagia yang kekal abadi.


I'll be right here waiting for you

Aku teringat kat kisah sorang cikgu yang aku respect sangat masa kat MRSM Jasin dulu. Lepas pemergian arwah suaminya, cikgu ni pakai purdah supaya tak ada orang yang terpikat dengan dia. Cikgu ni memang cantik, dengan kulit putihnya, hidung mancung, rasanya siapa yang pandang mesti terpikat. Tapi Cikgu menutup dirinya daripada dipandang oleh mana-mana lelaki pun. Masa tu, setiap hari Jumaat ada slot Fardhu Ain untuk student perempuan. Cikgu selalu cakap dalam slot Fardhu Ain tu, dia nak jadi orang baik dan dapat masuk syurga tertinggi supaya boleh datang cari arwah suami.

Kisah sebuah kesetiaan ni memang bagi inspirasi untuk aku setia pada seseorang yang bakal jadi suami aku. Aku harapkan dialah satu-satunya suami dunia akhiratku. Semoga kami berdua dapat saling setia dan menerima masing-masing seadanya di samping meneguhkan diri antara
satu sama lain. (Haih, betulke ayat aku ni?)

Dan, untuk mendapat sebuah kesetiaan, kita kena jadi yang terbaik untuk seseorang tu. Usahakanlah untuk jadi paling cantik, paling baik, paling lemah-lembut, paling menyejukkan mata, paling bijaksana, paling memahami, dan macam-macam paling lagi depan suami. Sekurang-kurangnya, bila kita tak dapat kesetiaan tu, kita tak rasa menyesal sebab dah usaha yang terbaik. Paling-paling pun, (paling lagi.) orang yang tak menghargai tu yang akan rasa menyesal yang teramat sangat. Tapi, kalau dapat yang kaki pukul, kaki bebel benda-benda menyakitkan, kaki tak pasal-pasal nak mengamuk, kaki kedekut, kaki cari salah orang je, setia tu cuma akan memakan diri sendiri. Hehe. (Pointnya di sini, sebelum setia, kita pun kena pilih orang yang betul untuk dijadikan teman hidup, di dunia dan inshaALLAH teman di syurga.)


Nothing can come between us if you just hold my hand


Dan untuk kawan-kawan aku yang baru mengalami sebuah kehilangan, aku cuma mampu terus berdoa agar terus kuat dan tabah. Hadapilah dengan solat dan sabar. Bangun di sepertiga malam dan masa tulah paling best untuk mengadu segala-galanya. Kadang-kadang bila cerita dengan manusia, ada yang tak suka dengar cerita sedih, ada yang tak memahami, dan mungkin ada yang menyebar-nyebarkan cerita. So, the best way is mengadu pada ALLAH Yang Maha Mendengar dan Maha Mengasihani.

Aku selalu beritahu pada kawan-kawan yang hadapi sebuah kehilangan supaya beristirja' dan baca doa seperti yang diajar Rasulullah pada Ummu Salamah sewaktu kematian Abu Salamah,

Innalillahhi wainna ilaihi raaji'uun. ALLAHhumma ajirni fi musibati wakhlufli khairamminhaa.
Sesungguhnya daripada ALLAH kita datang dan kepadaNYA kita kembali. Wahai ALLAH, berikanlah ganjaran di atas musibah ini dan berilah ganti yang lebih baik daripadanya.

Ummu Salamah terdiam berfikir, siapa agaknya yang lebih baik daripada Abu Salamah, kerana menurutnya suaminya itu adalah orang yang sangat baik. Namun Ummu Salamah tetap membaca doa itu, dan akhirnya ALLAH menggantikan kehilangan itu dengan Rasulullah. Kita pun tahu, bahawa Rasulullah adalah sebaik-baik manusia untuk dijadikan suami. Subhanallah, Maha Suci ALLAH daripada segala kekurangan, dan betapa pengasihnya ALLAH. :)


Memandangkan kita baru je sambut Aidiladha, marilah bersama kita hayati erti pengorbanan. Pengorbanan yang dilakukan semata-mata mengharapkan redha ALLAH, mudah-mudahan akan dihadiahkan dengan ganjaran yang lebih besar. Berkorban masa, tenaga, harta, keselesaan, dan diri untuk kejayaan dunia akhirat. Kadang-kadang, lebih berat lagi bila kita perlu korbankan sebuah perasaan.

Apa pun, layanlah lagu ni untuk menguatkan hati, semangat, dan hari-hari anda.




Andai diriku pergi
Tinggalkanmu sendiri
Usah kau sedih
Usah tangisi duga dari Ilahi

Andaiku pergi dulu
Tiba tika dan waktu
Telah tertulis takdir untukku
Perjanjian yang Maha Agung
Doakanku sejahtera disisiNya

Rasa gentar rasa rindu
Bertarung di fikiranku
Wajah ceria, senyum manja
Kisah kita menghapus resah

Maafkan diriku kasih
Kerna buat kau menangis
Restuiku dengan cinta
Jangan kau titiskan air mata

Pintaku redhailah
Terima kasih atas segalanya


~Teringat ayat Ilyas untuk Sofiyya (dalam cerita Sofiyya petang-petang tu), "Saya sukakan awak sejak saya nampak ketabahan awak hadapi macam-macam dugaan. Dan awak tetap bersyukur dalam hadapi hidup ni." Oleh itu, jadilah wanita yang tabah ok. Sebab wanita yang paling cantik adalah yang masih tetap tersenyum dan positif dalam menghadapi tiap kesukaran. :)

Friday, October 14, 2011

Ilmu Pelita Hidup Penyuluh Jalan Kemenangan

Salam blog. Sorry sebab lama tak update. Memang rasa tak sempat sangat nak fikir lama-lama untuk tulis kat blog ni. Kebetulan hari ni mencari artikel-artikel sendiri yang terperuk dalam laptop ni untuk diletakkan dalam risalah. Untuk itu, terfikirla nak copy paste je artikel lama ni. Moga ada manfaatnya.


Saya baru je lepas tengok video tentang tanda-tanda kebesaran ALLAH melalui satu kajian yang dibuat terhadap kandungan surah Ar-Rahman. Subhanallah, sungguh menakjubkan bila tengok betul-betul ada pertemuan antara air masin dan air tawar.


Ia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu;

Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing
-masing tidak melampaui sempadannya;

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yan
g kamu hendak dustakan?
(Ar-Rahman : 19-21)



Bukan itu yang ingin saya kupas sebab saya tahu mungkin dah ramai juga yang familiar tentang video macamni. Sebaiknya, kita semua turut sama mencari dan meneliti seberapa banyak maklumat mengenai kajian tersebut, dan menghubungkaitkan setiap sesuatu dengan kebesaran ALLAH. Namun yang benar-benar menjadi fikiran saya beberapa waktu ini adalah mengenai ilmu.

Lihatlah berapa banyak ayat di dalam al-Quran yang menyuruh kita menuntut ilmu? Berapa banyak pula ayat di dalam Quran juga hadith yang menyatakan kelebihan menuntut ilmu dan menyampaikan ilmu? Bukankah manusia diciptakan untuk menjadi hamba ALLAH, jua sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi? Maka bagaimana mungkin kita mampu mentadbir bumi tanpa ilmu penuh di dada? Benar, ilmu ALLAH itu luas. Jika habis air di lautan dijadikan dakwat untuk menulis ilmu ALLAH, dan ditambah satu lautan lagi, namun ilmu ALLAH itu tetap tidak dapat habis ditulis. Namun begitu, itu bukanlah alasan untuk kita terus berdiam diri tanpa mencari ilmu.


"ALLAH akan meninggikan darjat orang yang beriman di antara
kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) beberapa darjat." (Al-Mujaadalah : 11)






Hati saya bergetar saat membayangkan peritnya apabila umat Islam pada zaman kejatuhan Islam di Granada menyaksikan kitab-kitab mereka dibakar oleh tentera-tentera kristian. Kenapa kitab-kitab yang dibakar? Kerana mereka tahu, dengan ilmulah kita akan berjaya. Kerana suatu ketika dahulu juga, Islam menjadi gemilang dan terbilang antara lainnya adalah menerusi tinta-tinta yang mencatat ilmu. Dahulunya Cordova menjadi pusat ilmu pengetahuan di Eropah pada abad keempat Hijrah. Bangsa Eropah juga memperoleh manfaat daripada perkembangan ini. Mereka berpeluang mempelajari banyak ilmu Islam yang berkembang di seluruh Andalus. Ia bukan saja di Cordova, malah bandar lain seperti Seville, Toledo dan Granada. Itu belum lagi kita katakan tentang kota Baghdad yang memegang peranan dalam menyebarkan ilmu pengetahuan dan tamadun Islam. Masa muda seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya untuk belajar dan menyampaikan ilmu kepada orang lain.


Namun, perhatikanlah apa yang berlaku pada generasi muda Islam zaman kini. Saya perhatikan teman-teman yang bijak pandai, mereka yang mempunyai segulung ijazah, master, atau apa pun, namun entah kenapa tak mampu membawa mereka lebih DEKAT dengan TUHANnya. Benar, mereka masih berjaya dalam akademik dan kerjaya meskipun terang-terangan meringankan dan melanggar perintah ALLAH. Namun bagaimana caranya untuk kita kembalikan kegemilangan Islam andai belajar dan belajar setiap hari di universiti hanyalah untuk mendapatkan tangga gaji yang kita ingini. Masa-masa yang ada selalu kita penuhi bukan dengan cuba mengkaji ayat-ayat ALLAH, namun kita leka menonton movie, menghadap facebook, berchatting, bergayut di telefon, dan macam-macam lagi perkara yang entah macam mana dapat membantu dalam meningkatkan kualiti ummah. Perhatikan perkataan 'kita', menunjukkan betapa saya turut mengkoreksi diri. Benar, kini saya menginsafi betapa banyak masa terbuang sedangkan masa itu boleh dimanfaatkan sebaiknya untuk kita mendalami ilmu yang bukan sahaja dalam bidang kita. Masa itu boleh kita gunakan untuk cuba berkongsi buah fikiran yang membina, cuba menyampaikan apa yang kita tahu, dan banyak lagi aktiviti bermanfaat yang dapat mengukuhkan hubungan antara hamba dengan TUHANnya.

Saya tambah merasa parah bila melihat kelantangan seorang yang dahulunya muslim, giat menghina dan mempersendakan Islam, filem Melayu yang menyamatarafkan semua agama, tulisan-tulisan orientalis Barat yang memandang hina terhadap Rasulullah s.a.w., fitnah terhadap ayat-ayat Quran yang dicetuskan dalam Fitna, dan macam-macam lagi. Seharusnya kita yang cuba menerangkan kepada mereka tentang kebenaran dan kesyumulan ajaran Islam itu. Namun bagaimana jika umat Islam itu yang sangat cetek ilmu tentang Islam, lalu sesekali terasa goyah terhadap dakwaan-dakwaan mereka? Na'udzubillah. Namun hakikatnya perlu diterima, kerana sememangnya kita sudah dengar banyak kisah-kisah mereka yang berpaling dan murtad. Justeru, fahamilah wahai diri dan teman-teman. Dalam kita ghairah mencedok ilmu barat, mantapkanlah ilmu aqidah, dan ilmu-ilmu lainnya. Andai ada yang kita ragukan atau kurang jelas, bertanyalah pada mereka yang benar-benar bertauliah. Kerana itu, kita benar-benar dianjurkan untuk berbaik dengan golongan ulama'. Kita perlu sentiasa belajar dan tahu banyak perkara tentang agama kita, agar dapat mematahkan hujah-hujah mereka yang sewenangnya mempersenda agama kita. Atau sekurang-kurangnya untuk kemantapan keyakinan kita sendiri.

Jadikanlah amalan membaca budaya kita. Itu yang sering kita dengar dan kerap dinyanyikan. Namun perhatikanlah bahan bacaan kita. Kita adalah apa yang kita baca. Bersamalah kita utamakan membaca al-Quran, memahami, menghayati, dan mengkaji agar kita dapat mengamalkan isinya dengan penuh rasa yakin. Sama-samalah kita usahakan agar Islam kembali gemilang. Insafilah ayat-ayat yang menyeru kita agar menuntut ilmu. Mulakan dengan niat yang betul, terus membaca bahan bacaan yang betul, bertanya dengan orang yang betul, dan jalani hidup dengan cara yang betul mengikut yang telah digariskan dalam al-Quran dan sunnah. Andainya kita pernah tersasar jalan, sama-samalah kita taubat nasuha. Taubat yang sebenar taubat agar kita berjaya.

Maksudnya : Dan beraubatlah kamu sekalian kepada ALLAH, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (Surah an-Nur : 31)


Dalam zaman semua ada di hujung jari ni, lagi mudah untuk kita dapatkan ilmu. Semuanya antara nak ddengan tak nak je kan. Kalau kat youtube tu, kita type je nama para ilmuan terkenal, dalam dan luar negara, ada macam-macam ilmu yang kita boleh dapat. Sekali lagi, semuanya hanya antara nak dengan tak nak. Oleh itu, mari kita usahakan sikit demi sikit untuk jadi seseorang yang lebih baik dari sebelum ni. Cuba untuk tukarkan bahan bacaan yang kurang bermanfaat kepada bahan bacaan yang lebih membina. Ya, setiap hari katakan pada diri, hari ini mesti lebih baik daripada semalam. Di samping tu, jangan lupa panjatkan doa supaya ALLAH beri kekuatan untuk kita berubah menjadi lebih baik, inshaALLAH. :)

Saya mengharapkan bantuan teman-teman agar mengingatkan saya saat saya terleka. Sama-samalah kita berpesan-pesan dengan dengan kebenaran dan kesabaran agar kita tak termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi.


Sekian saja, buat kali ni. Salam sayang untuk semua. :)


"Ya Muqallibalqulub tsabbit qalbi 'alaa diniik watsabbit qalbi 'ala thaa'atik."
"Wahai Yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami atas agamaMU dan atas ketaatan kepadaMU. amiin."

Sunday, September 18, 2011

Cintaku di UTM


Salam.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahhuakbar. Segala puji bagi ALLAH yang masih memberi kekuatan untuk aku terus menaip entry di blog ni. Semoga bermula dari saat ini, lebih banyak lagi entry bermanfaat yang bakal aku kongsikan di blog tak seberapa ni. InshaALLAH.


Ya Muqallibalqulub thabbit qalbi 'ala diniik. Ya Muqallibal qulub thabbit qalbi 'alaa thaa'atik.
"Wahai TUHAN yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku atas agamaMU. Wahai TUHAN yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku atas ketaatan kepadaMU."


Sebenarnya macam-macam yang aku lalui dan banyak juga pengajaran yang aku dapat sepanjang aku tak menulis ni. Tapi alhamdulillah, sebab kali ni aku rasa lebih kuat dalam hadapi macam-macam benda yang berlaku. Segala puji bagi ALLAH yang berikan aku kekuatan, kerana tanpa izinNYA tentu aku tak macam aku hari ni. Bila dapat berita sedih yang bertubi-tubi, aku tak menangis dan sembunyikan diri. Sampai Mama cakap kali ni aku lebih tabah bila Mama yang menangis tak henti-henti bila fikir tentang apa yang berlaku pada aku. Tapi aku cuma cakap, mungkin Mama menangis bagi pihak aku. Hehe. Sebenarnya bagi aku, itu bukan kekuatan aku, tapi itu kekuatan yang ALLAH hadirkan untuk bantu aku.


"Wahai TUHAN, masukkanlah aku dengan cara masuk yang benar, dan keluarkanlah aku dengan cara keluar yang benar, dan berikanlah aku dari sisiMU seorang pembantu."


Aku sedar, hidup adalah medan ujian di mana kita tak boleh lari daripada ujian yang bakal tiba, sama ada besar atau kecil. Tapi, aku memohon agar ALLAH hadirkan kekuatan aqidah dan jiwa agar aku selalu tenang dalam hadapi setiap yang berlaku.

Semester ni aku dapat kolej yang agak jauh daripada fakulti dan nak ke tempat-tempat lain. Tapi alhamdulillah, so far aku rasa ok walaupun bila letih aku cuma boleh tidur di sebalik meja budak-budak masters ataupun tidur kat mesjid. Hati selalu rasa bahagia dalam ngantuk dan letih bila semua ngantuk dan letih itu adalah untuk ALLAH. Ya, ALLAH, luruskanlah niat dan jalanku dalam setiap yang aku lakukan. amiin. Aku pernah cakap dengan sorang lecturer aku, yang aku nak stay lama kat UTM ni sebab aku sangat-sangat cintakan UTM ni. Ya, di UTM aku pernah kenal erti jadi student yang excellent (kononnyalah kan), pernah jadi student yang tiba-tiba hilang confidence dan selalu sembunyikan diri, tapi semua tu buat aku belajar erti rendah hati, segala yang berlaku hanya akan berlaku dengan izin ALLAH, erti siapa sahabat sebenar yang selalu bersama saat susah dan senang, erti sabar, erti redha, erti kuat jiwa, dan macam-macam lagi. Saat aku selalu sakit dan takut, mesjid UTMlah tempat aku selalu luahkan cerita dengan ALLAH. Kat mesjid UTMlah aku selalu katakan pada diri, aku yakin bahawa bantuan ALLAH akan segera tiba. ALLAH akan berikan kekuatan untuk aku terus bangkit dan naikkan semula diri aku. Di UTM aku pernah cuba untuk jual itu dan ini untuk tambahkan duit poket. Di UTM jugak, aku kenal terlalu ramai lecturer yang baik, memahami, dan selalu sokong aku supaya aku terus kuat. Dan aku juga berazam untuk jadi seorang lecturer supaya aku dapat membantu dan mendidik pelajar-pelajarku satu hari nanti. inshaALLAH. Amiin.


Mesjid, tempat kecintaanku. Tempat mengumpul kekuatan jiwa.


Di UTM juga, aku kenal dengan kakak-kakak yang menunjukkan aku jalan tarbiah dan dakwah, yang semuanya bertemu dan bersahabat hanya kerana ALLAH. Memang dari aku darjah enam lagi, aku selalu impikan supaya dapat bersama mereka yang sama-sama selalu rindukan ALLAH dan saling mencintai mereka yang cintakan ALLAH.

Aku cintakan pemandangan UTM yang penuh dengan pokok-pokok besar di tepi-tepi jalan. Bila jalan sendiri, aku selalu yakin yang ALLAH memerhati aku berjalan di tengah-tengah pemandangan indah tu. Aku tahu yang setiap daun itu pun berzikir memuji ALLAH, dan seharusnya hati aku pun ikut berzikir kerana hanya dengan mengingati ALLAH hati aku akan tenang. :) Bila musim bunga-bunga gugur, aku selalu rasa macam diri sendiri dalam drama Korea. Sebab heroin cerita Korea selalu berfikiran positif dan tetap happy walau apa pun yang berlaku. Aku selalu cakap dalam hati tentang macam-macam sebab aku tahu ALLAH Maha Mendengar semua yang aku ceritakan.




Aku ingat lagi masa minggu pertama masuk UTM, aku pernah diberitahu yang UTM ni adalah gedung ilmu yang sebenarnya. Di UTM, kita bukan setakat dapat ilmu dalam kursus yang kita ambil, tapi terlalu banyak lagi sumber ilmu yang lain. Cuma, semua tu terpulang pada kita sama ada nak teguk semua ilmu yang dihidangkan atau biarkan saja diri kosong tanpa pengisian. Banyak majlis ilmu yang ada di UTM.

Selain tu, aku suka sangat pesta konvo UTM sebab aku boleh selalu dapat beli barang yang jauh lebih murah daripada biasa. Contohnya, sepasang baju kurung yang aku dapat beli dengan harga RM30 je. Sebagai perempuan, kita mesti bijak berbelanja sebab satu hari nanti kita perlu jadi menteri kewangan keluarga kan? Hehe. Kat pesta konvo jugak aku boleh jumpa dengan ramai orang, sampai kawan aku cakap, pergi mana-mana je mesti ada kawan aku. Tapi, untuk makluman kawan-kawan, aku memang jenis tak nampak orang sebab rabun tapi tak suka pakai spec. So, kalau nampak aku tu, cepat-cepatlah datang dekat aku dan bagi salam k. Hehe. Kat pesta konvo jugak, kita boleh berkenalan dengan kawan baru, dan mungkin akan jadi seseorang yang dekat dalam hidup kita.

Tapi lebih penting daripada semua tu, aku banyak belajar erti kehidupan di UTM ni. Aku belajar untuk lebih berani hadapi realiti. Kalau dulu aku tak pernah kenal erti gagal, di UTMlah aku belajar erti sebuah kegagalan. ALLAH Maha Adil. Dulu aku selalu dapat rasa mudahnya capai kejayaan tanpa aku perlu usaha berhempas pulas macam kawan-kawan lain. Tapi sekarang, aku dah lalui jalan yang lebih sukar daripada kawan-kawan lain yang berikan aku 1001 pengajaran yang berharga. Subhanallah, Maha Suci ALLAH yang membuka mata aku untuk nampak setiap hikmah dalam semua yang berlaku. Kalau kita berjaya, kalau perangai kita baik, kalau kita cantik, kalau kita kaya, kalau kita pandai, semuanya adalah dengan izin ALLAH, dan bukan kerana kita adalah kita.




Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

“Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya”.

(Ali Imran : 26 - 27)

Apapun, bagi aku, rasa jauh hati, rasa dikhianati, rasa merajuk hati, atau apa jua rasa sedih pada sesiapa pun seharusnya kita jadikan sebagai mangkin untuk menaikkan kadar usaha kita dalam mencapai kejayaan.




Oh ya, nak promote kat sini. Aman Palestin akan bukak booth di Pesta Konvo UTM pada 24 - 26 September ni. Sambil shopping dan window shopping (sebab belum dapat gaji) kat pesta konvo tu, jangan lupa singgah di booth Aman Palestin. Sambil membeli bolehlah kita berderma untuk saudara kita yang sedang survive di Palestin. Dengar cerita, ada coklat-coklat yang sedap akan dijual jugak. So, bagi peminat coklat bolehlah try rasa coklat kami ya! :)

~Akhirnyaa, dapat jugak aku publish satu entry. Alhamdulillah!

~Seronok tengok suasana konvo yang meriah. Sempat borak dengan sorang tauke petrol station yang datang dari Pahang nak tengok anak ambik scroll. Aku dengar dia bercerita macam mana susahnya nak make sure sehari mesti capai target RM 10, 000, macam mana nak cover kerugian bila kena rompak dan sebagainya.



Thursday, August 25, 2011

Hijrah Memang Susah, Tapi Boleh InshaALLAH


Salam.

Rasanya dah lama aku tak menulis. Sebenarnya macam-macam yang aku rasa nak share dalam blog ni, tapi tak berkesempatan sebab ada benda-benda lain yang lebih menuntut perhatian aku. Sebelum ni, bila aku spend masa untuk tulis satu entry kat blog, rasanya aku dah curi banyak masa untuk menulis benda yang sepatutnya aku siapkan dalam tahun ni jugak.

Berbanding dengan di facebook, bila nak tulis kat blog ni kadang-kadang perlu check spelling error, check kalau-kalau ada tersalah bahasa mahupun tatabahasa, dan sebagainya. Baru-baru ni aku ada bercerita dengan sorang sahabat, dia beritahu aku betapa pentingnya untuk kita utamakan kerja yang lebih utama berbanding dengan yang kurang utama. Menurutnya, meskipun dengan kerja-kerja sukarelawan yang memang baik, tapi aku perlu pertimbangkan sama ada kerja seumpama tu akan mengganggu perjalanan tarbiah dan dakwah yang memang sewajarnya menjadi keutamaan sepanjang hayat. Aku ni masih lagi merangkak-rangkak dalam semua ni, dan sangat jealous sebenarnya dengan kakak-kakak yang sudah lebih maju ke depan dan sentiasa kuat semangat atas jalan ini. Alhamdulillah, sesi buka puasa dengan seorang sahabat di kampung nenek, akhirnya jadi satu diskusi yang berjaya buka mata aku dari segi beberapa perkara di samping menjelaskan beberapa kekaburan yang ada.

Ya, aku sudah lama nantikan saat untuk berada atas jalan ini, dan ALLAH sudah buka pintu untuk aku sampai ke jalan ini. Ya ALLAH, kuatkanlah langkah kaki ini agar terus istiqamah atas jalan yang menghubungkan aku dengan cintaMU, juga dengan mereka yang mengharapkan cintaMU.

Kadang-kadang, aku takut jugak bila jadi orang yang mula menyampaikan setelah kita banyak menerima. Teringat pengalaman dari zaman sekolah dulu. Masa form three dulu, aku pernah bagi talk sikit kat kawan-kawan, adik-adik, dan kakak-kakak tentang hal disiplin dan do's and dont's kat MRSM BP. Yelaa, masa tu ada antara mereka yang baru masuk dari sekolah bukan MRSM dan ada yang memang dari MRSM tapi mungkin terlupa rules penting. Tapi, lama kelamaan ada jugak antara rules tu yang aku sendiri langgar. Aku teringat macam mana sedihnya muka Ustaz Marwan (ketua fellow masa tu) bila aku macam dah berubah jadi lebih nakal. Huhu.

Tapi, sekarang ni, aku rasa sesiapa pun dah pernah rasa benda-benda seumpama ni. Cuma yang membezakannya adalah adakah kita ambil pengajaran daripada kesilapan kita dan terus berubah betulkan kesilapan, ataupun biarkan diri hanyut dengan terus mengulang kesilapan demi kesilapan. Bagi aku, kesilapan itu adalah guru yang sangat hebat untuk kita lebih berhati-hati di masa depan. Sedangkan dalam konteks dakwah pula, kesilapan itu mengajar kita untuk lebih memahami perasaan dan keadaan mad'u kita supaya dapat mendekati mereka dengan cara yang lebih baik. Kesilapan juga mengingatkan diri kita, bahawa kita mampu melaksanakan amal-amal baik pun adalah dengan izin ALLAH dan bukan kerana diri kita yang memang sedia baik.

Ok, sekarang adalah sesi copy n paste, apa yang aku dah tulis di Facebook sebelum ni. Masa tu tiba-tiba aku rasa nak tulis tentang hijrah di facebook, sebab aku nampak beberapa perubahan positif pada beberapa orang teman. Lepastu, bila beli satu magazine tu, banyak pulak berkisarkan tentang kisah hijrah beberapa orang terkenal. Lepastu pulak, ada seorang pembaca yang recommend aku untuk jadi pengacara TV Al-Hijrah. Huhu. Tapi, yang lebih menyedarkan aku bahawa itu adalah petunjuk daripada ALLAH, ialah bila ayat-ayat yang dibacakan imam dalam solat terawih malam tu jugak banyak tentang hijrah dan jihad di jalan ALLAH. Subhanallah! Ya ALLAH, Kau bantulah hamba-hambaMU yang benar-benar sudah memulakan tekad untuk berhijrah. Semoga kami akan terus istiqamah dalam menjadi hamba yang baik menurut pandanganMU, lalu kembali kepadaMU dalam keadaan redha dan diredhai, inshaALLAH.

Ok, selamat membaca! :)


Hijrah itu memang susah,

Hijrah itu memang payah,

Hijrah itu menuju ALLAH,

Di hujungnya hasanah. :)


Saya teringat sorang kawan yang tak suka dengar lagu ni, barangkali buatkan dia rasa mengantuk semasa drive. Huhu. Tapi saya sangat suka dengan lirik dalam lagu yang dinyanyikan kumpulan nasyid Devotees ni. Mengikut pemerhatian dan pengalaman, saya yakin dan percaya bahawa semua orang memang ada hasrat untuk berubah, berhijrah ke arah yang lebih baik. Sebab, fitrah setiap manusia itu sebenarnya sukakan kebaikan, justeru hati pasti akan tenang bila lakukan kebaikan.


Kalau tak percaya kan, cuba tengok artis-artis kita dalam rancangan Ini Kisahku di TV9. Kalau tak sempat tengok di TV9, bolehlah tengok di youtube. (Sebab saya pun tengok kat youtube je). Antara yang saya dah tengok ialah Sham Kamikaze, Wardina Safiyya, dan Catriona Ross. Muka diorang nampak lebih bersih dan tenang kan? Cuba kita bandingkan dengan mereka yang selalu jauh dari ALLAH, mestilah sangat berbeza tak kira cantik atau handsome macam mana seseorang tu.


Berubah?


Daripada malas solat kepada lebih menjaga solat lima waktu

Daripada pemarah kepada lebih sabar

Daripada tidak menutup aurat kepada menutup aurat

Daripada sombong kepada lebih merendah diri

Daripada malas kepada rajin

Daripada solat sendiri kepada selalu solat berjemaah

Daripada suka bergossip kepada zero gossip

Daripada tak hormat orang tua kepada lebih memuliakan orang tua

Daripada merempit di jalan, kepada bawak motor ke mesjid untuk solat


Dan apa saja bentuk perubahan kepada lebih baik.





Berubah memang susah, kerana syaitan dah sangat expert dalam menghalang manusia ke arah lebih baik. Jadi, kita akan nampak benda-benda baik sebagai benda yang membosankan, memalukan, dan sebagainya. Padahal, pada hakikatnya benda-benda baik itulah yang menenangkan jiwa kita, apatah lagi bila baik itu adalah baik yang bertepatan dengan suruhan ALLAH. Dan bila kita baik, inshaALLAH ketenangan tu akan nampak pada wajah kita. Contohnya bila kita cuba pakai tudung, kita akan rasa macam nampak lebih cantik tanpa tudung. Tapi sebenarnya semua tu cuma bisikan-bisikan daripada syaitan dan nafsu sendiri yang dah selalu terdidik dengan hasutan syaitan. Percayalah, kita akan kelihatan lebih cantik bila kita ikut apa yang ALLAH suruh. Bukankah ALLAH yang membentuk wajah-wajah kita?


“Before I started covering, I thought of myself based on what others thought of me. I see that too often in girls, their happiness depends on how others view them. Ever since, my opinion of myself has changed so much; I have gained (a lot of) self respect. I have realized whether others may think of me as beautiful is not what matters. How beautiful I think of myself and knowing that Allah finds me beautiful makes me feel beautiful.”

- Katherine Bullock, a Canadian convert to Islam.


Ataupun kadang-kadang kita rasa macam cantik jugak bila bertudung, tapi ada pulak kata-kata kawan kita yang buat kita rasa segan nak bertudung. Ada jugak antara kawan yang akan memperlekehkan usaha dengan katakan kita bukannya baik sangat untuk tiba-tiba berubah memakai tudung.


Biarkanlah. Kuatkan hati, dan jangan menoleh ke belakang bila kita sudah mulakan niat untuk berhijrah. Biarkan apa jua orang nak kata, kerana hijrah kita seharusnya adalah semata-mata kerana harapkan redha ALLAH. Apa jua yang orang lain kata, tak akan sedikitpun mengubah nilaian ALLAH terhadap diri kita. Kita tak perlu berusaha untuk tunjukkan diri kita sebagai orang yang baik pada pandangan manusia, tapi kita mesti selalu cuba untuk jadi orang yang baik kerana ALLAH, sama ada di depan ataupun di belakang manusia.


Bila apa yang kita buat adalah semata-mata kerana ALLAH, kita tak akan terusik dengan kekejian ataupun kebencian!


Berubah, biar sikit tapi mesti berubah.


Ada yang cuba mulakan dengan menjaga solat, tapi mungkin belum menutup aurat dengan sempurna. Tak apa, teruskan dengan membetulkan solat kita. Jangan kerana segan bila belum menutup aurat, lalu kita pun segan untuk solat. Tak tutup aurat itu satu dosa, dan tak solat tu satu dosa. Sekurang-kurangnya bila kita lakukan solat walaupun tak tutup aurat, kita cuma dapat dosa tak menutup aurat, dan dapat pahala lakukan solat. :) Seterusnya, bolehlah kita cuba untuk betulkan perkara-perkara lain untuk menzahirkan bahawa solat itu dapat mencegah diri kita daripada melakukan kemungkaran.


Dan orang-orang yang rasakan diri sendiri sudah baik, tak perlulah kita memperlekehkan mereka yang baru nak berubah. Kita tak tahu apa yang ALLAH tahu. Keadaan kita yang sekarang belum tentu untuk menjamin sama ada mati kita nanti dalam keadaan pengakhiran yang baik atau sebaliknya. Kita mesti selalu sedar, bila kita mampu buat perkara-perkara baik pun, semuanya adalah atas izin daripada ALLAH.


Kadang-kadang, bila dah berubah pun, mungkin ada satu masa kita rasa iman lemah dan ingin kembali macam dulu. Kalau daripada kurang baik, berubah jadi baik, tiba-tiba boleh berubah jadi kurang baik semula, pun masih boleh berusaha untuk berubah jadi lebih baik. Dan selalulah mintak bantuan ALLAH agar dimudahkan jalan untuk terus menjadi orang yang baik pada nilaian ALLAH. Doalah selalu dalam setiap solat kita, agar hati kita tak dipesongkan setelah ALLAH beri hidayah.


"Rabbana la tuzigh quluubanaa ba'da idzhadaitanaa wahablanaa milladunka rahmah. Innaka antal wahhab."

"Wahai TUHAN kami, janganlah ENGKAU memesongkan hati kami sesudah ENGKAU beri petunjuk kepada kami, dan sesungguhnya ENGKAU jualah TUHAN yang melimpah-limpah pemberiannya."


dan doa ini,


"Ya Muqallibal qulub thabbit qalbii 'alaa diniik wa 'alaa thaa'atiik."

"Wahai TUHAN yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di dalam agamaMU dan ketaatan."


Bagaimana nak berubah?


1. Mulakan niat berubah semata-mata kerana ALLAH.

2. Berdoa supaya dikuatkan hati untuk berubah ke arah yang lebih baik.

3. Mula berubah.

4. Sentiasa doa supaya istiqamah dalam menjadi hamba ALLAH yang lebih baik.


"Sebagai muslim, hidup dan matlamat sebenar kita adalah mengenal Allah, tapi bila kita duduk dikalangan orang yang tidak memperingatkan diri kita tentang Allah, jadi kita pun terlupa sebab kita memang manusia yang terlupa." -Amer Munawer


"Sekiranya kita nak berubah jadi baik maka Allah akan hantarkan orang-orang yang baik untuk berkawan dengan kita" - Wardina.


~Biarkan apa orang nak kata, yang penting apa yang ALLAH kata. :)

~Mari sama-sama berhijrah kerana ALLAH. :)

~Jadikan 10 malam terakhir Ramadhan ni sebagai platform untuk kita mulakan hijrah. Perbanyakkan doa, istighfar, iktikaf, qiamullail, tadabbur al-Quran, dan apa jua amalan baik. Jangan terlalu excited dengan raya sampai kita korbankan 10 malam terakhir yang di dalamnya ada malam yang lebih baik daripada 1000 bulan!

Sekian, daripada diri sendiri yang kurang baik, tapi nak jadi baik, dan nak kawan-kawan sama-sama jadi baik. :D