Saturday, March 17, 2012

Mengetuk Pintu Maghfirah

Salam.

Apa khabar semua pemirsa? hehe sebenarnya baru terpengaruh nak speaking indon lepas dengar puisi indah daripada Oki Setiana Dewi. Rasanya memang dah lama sangat tak betul-betul share sesuatu di blog ni.

Ok, dipendekkan cerita, sekarang saya sekadar nak share sedikit daripada apa yang saya dapat daripada kelas tafaqquh di Masjid Sultan Ismail, UTM Skudai. Haa, untuk warga UTM, jom kita sama-sama manfaatkan peluang untuk tambahkan ilmu dalam kelas tafaqquh setiap sabtu yang berkenaan dengan tauhid. (Tapi next week kelas tafaqquh diganti pada hari Rabu sebab ada kursus kahwin kat dewan mesjid.)

Tajuk yang Ustaz Azhari kupas untuk kelas hari ni adalah : Mengetuk Pintu Maghfirah.

Kata ustaz, cuba fikirkan, siapa yang paling sayang dan cintakan kita di dunia ni? Jawapannya tak lain dan tak bukan, mestilah ibu kita. Bukan best friend, bukan boyfriend, apa lagi bukan buayafriend atau gelifriend. Adakah kita dapat bayangkan yang seorang ibu tergamak nak campakkan anak sendiri ke dalam api? Mestilah tak kan.. tapi hakikatnya cinta ALLAH kepada kita itu jauh lebih besar daripada cintanya seorang ibu terhadap anaknya. Tak kiralah macam mana besar pun dosa seseorang itu, tapi keampunanNYA jauh lebih besar.

Dalam al-Quran ada banyak disebut nama-nama ALLAH yang menggambarkan sifat pengampun ALLAH. Antaranya adalah al-Ghaffar, iaitu Yang menutup dosa, Ghaafir iaitu Yang menghilangkan dosa. Justeru, bila rasakan diri kita sudah melakukan dosa, mohonlah ampun dengan penuh kesungguhan dan janganlah bangga ceritakan dosa yang pernah dilakukan kerana ALLAH telah menutup aib kita. Selain itu, ada juga nama lain yan menunjukkan betapa pengampunnya ALLAH dan selalu menerima taubat seperti at-Tawwab dan al-'Afuw.

Kata ustaz lagi, kadang-kadang bila seseorang belajar tentang tauhid, dia cuma tahu bahawa ALLAH itu wajar ditakuti. Tapi sebenarnya setiap hamba itu perlu punyai tiga perkara ini dalam konteks hubungan dengan ALLAH. Tiga perkara itu adalah rasa takut, harap, dan juga cinta.

1. Takut (khauf, khasyiah) - kita perlu sentiasa punyai rasa takut seandainya ALLAH murka terhadap apa yang kita lakukan.

2. Harap (raja') - seorang hamba itu perlu sentiasa punyai rasa harap bahawa ALLAH itu akan meredhai dan mengampunkan kita. Melalui rasa harap inilah yang dapat membantu kita dalam menghindari rasa putus asa daripada rahmat ALLAH.

3. Cinta (Hubb) - cinta kepada ALLAH ini dapat mendorong kita untuk sentiasa berterusan dalam melakukan amalan-amalan kerana ALLAH. Ya, bertaubat, dan beramal hanya kerana cintakan ALLAH, bukan bersandarkan cinta kepada yang lain.


Jom perhatikan ayat ni daripada surah Az-Zumar ayat 53 hingga ayat 58 :


[53]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[54]
“Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.


Wahai diri dan sahabat yang dikasihi, janganlah sampai kita putus asa dengan rahmat ALLAH kerana sesungguhnya ALLAH mengampunkan segala dosa. Jangan jadikan lidah manusia mahupun bisikan syaitan itu mampu untuk menjadikan kita putus asa dengan dosa yang telah kita lakukan. Kerana syaitan itu akan sentiasa menghasut manusia agar lemah dan akhirnya berputus asa denngan rahmat ALLAH, sedangkan hakikatnya ALLAH itu Maha Pengampun, Maha Mengasihani terhadap hamba-hambaNYA.

Contohnya, apabila seseorang ni dah rasa terlalu menyesal dengan apa yang dah dilakukannya, lalu mula bertaubat dengan melaksanakan syarat-syarat taubat iaitu menyesali diri daripada dosa lalu, berhenti melakukan dosa, dan berazam untuk tidak mengulanginya. Namun tiba suatu masa dia mengulangi kesilapannya di saat graf iman mulai menurun. Macam kata seorang kawan saya, bagi dia graf iman ni berbentuk sinusoidal. Pada saat itu, syaitan akan bisikkan pada dia bahawa selama ini taubatnya adalah sia-sia kerana dia masih mengulangi perbuatannya, dan yang bahaya adalah bila dia terus rasa malas untuk bertaubat dan akhirnya dia terus terbiasa menjalani hidup yang penuh dosa. Sedangkan sebenarnya ALLAH Maha Mengetahui akan sifat seseorang hamba yang lemah dan kita tidak boleh sesekali berputus asa lalu menjauhi taubat.

Dan tambah menyedihkan, ada mulut-mulut manusia yang sudah mulai melabel orang itu dengan sesuatu label sedangkan sebesar mana dosa seseorang manusia itu, pasti akan diampunkan sekiranya dia bersungguh-sungguh dalam taubatnya. Sebabtu juga, kita juga perlu sangat-sangat menjaga lidah kita agar tak menyebabkan mana-mana hamba ALLAH merasa lemah dan berputus asa dengan rahmat ALLAH melalui kata-kata.

Kata ibarat pedang, yang tajamnya bisa membunuh lawan. Kata-kata yang berhikmah menyedarkan kita.

[55]
“Dan turutlah – Al-Quran – sebaik-baik. (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya.

Jadikanlah al-Quran sebagai teman baik kita dan sebagai rujukan utama kita di saat kita sedih, resah, marah, atau gelisah. Rasakanlah bahawa ALLAH itu sangat dekat dengan kita setiap kali kita membaca dan menghayati kalam ALLAH yang sangat indah dan sempurna itu. Dalam Quran ada panduan, pujukan, kata-kata penguat jiwa, dan bermacam solusi untuk setiap permasalahan. Bukankah ALLAH itu yang menciptakan kita dan dunia ini serta segala isinya? Kerana itu sentiasalah kembali kepada ALLAH dalam apa jua masalah yang kita hadapi. :) Al-Quran itu bukan sekadar untuk dilagukan atau dipertandingkan suara siapa yang paling merdu, tapi sebenarnya isinya perlu kita ambil untuk diamalkan dan dijadikan panduan hidup.

[56]
“(Diperintahkan demikian) supaya jangan seseorang (menyesal dengan) berkata: ` sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipan-kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan (ugama Allah dan penganut-penganutnya)! -
[57]
“Atau berkata: ` Kalaulah Allah memberi hidayah petunjuk kepadaku, tentulah aku telah menjadi dari orang-orang yang bertaqwa ! ‘ -
[58]
“Atau berkata semasa ia melihat azab: ` Kalaulah aku dapat kembali ke dunia, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang mengerjakan kebaikan!”


Justeru, ingatlah sentiasa bahawa macam mana lemah pun iman kita, kita tetap perlu menjalankan taubat. Baginda Rasulullah yang maksum dan kita tahu peribadinya adalah akhlak al-Quran pun, sentiasa bertaubat 100 kali sehari. Ya, bertaubat itu bukan sekadar beristighfar, tapi melaksanakan komponen-komponen penting taubat itu, iaitu :

1. menyesal dengan dosa yang dilakukan
2. berhenti daripada melakukan dosa
3. berazam untuk tidak mengulangi dosa
4. menyelesaikan hal dosa dengan manusia

Kenapa setiap hari pun kena bertaubat? Sebab setiap hari kita sangat senang nak melakukan dosa tanpa kita sedari. Kadang-kadang kita dengan tak sengaja menghina orang meskipun cuma dalam hati, kadang-kadang kita terumpat rakan ataupun kenalan kita, dan bermacam bentuk dosa sama ada kita perasan, tak perasan, atau buat-buat tak perasan. Kadang-kadang orang kita terlalu sibuk rasakan isu zina atau liwat sebagai perkara besar, tapi hakikatnya mengumpat itu adalah bentuk dosa besar yang kita nampak macam ringan, sedangkan pada saat kita mengumpat tu dah tertulis catatan dosa besar pada buku amal kita. Nah, itu baru mengumpat, apa lagi bila kata-kata itu adalah tidak benar? Menceritakan sesuatu yang tidak benar itu adalah memfitnah, tak kira perkara itu dilakukan sekadar suka-suka, mahupun untuk menjatuhkan nama orang lain. Justeru lazimilah taubat, dan kikislah ego untuk meminta maaf terhadap sesama manusia.

Ok, sekian saja post untuk hari ni. Semoga ALLAH beri petunjuk dan bantuanNYA agar kita dapat menjadi hamba yang benar-benar bertaubat, dan semoga akhir hidup kita adalah dalam keadaan yang diampunkan, dicintai, dan diredhai. aamiin.


Tuesday, March 6, 2012

Hanya ALLAH Yang Tahu



"Saat ini semua orang menganggapku sebagai orang baik. ENGKAUlah Yang Maha Mengetahui bahawa hambaMU ini bukan orang baik."

p/s : Tak kira apa pun penilaian orang, apa pun dosa yang pernah kita buat, atau banyak mana amalan yang kita buat, hanya ALLAHlah sebaik-baik penilai. Yang penting, jangan ada putus asa dalam kejar keampunan n redha ALLAH. Dan jangan sesekali rasa bangga dan rasa diri lebih baik daripada orang lain.

Friday, January 13, 2012

SOLAT : Makna Bacaan Dalam Solat

Salam.

Hari ni 14 Januari 2012. Maksudnya, baru masuk 14 muka surat untuk buku 2012, dan kita ada lagi 351 muka surat untuk cantikkan jalan cerita dalam buku 2012. :) Semua orang mesti ada macam-macam azam kan. Tapi apa kata kita cuba jadikan tahun 2012 ni sebagai permulaan untuk kita jadi hamba yang benar-benar memelihara solat. Pelihara dalam erti kata solat di awal waktu, menghayati solat kita sepenuhnya supaya akan termanifestasi hamba yang dapat mencegah diri daripada melakukan kemungkaran. InshaALLAH.


"Perkara pertama yang diaudit ialah solat. Jika baik solat, baik amalan. Ia akar kepada amalan kita." - Dr Zaharuddin.


Kadang-kadang, saya perhatikan, ramai orang yang rasa diri banyak bergelumang dengan dosa, lalu rasa malu nak solat. Sedangkan, kalau solat itu diusahakan secara bersungguh-sungguh dengan terus-menerus, saya percaya solat itu sendiri akan menjadi kekuatan dalam membantu kita menghenti kemungkaran. Mungkin ada orang akan cakap, "Apa guna dia solat kalau masih buat maksiat.." Oh, saya harap anda abaikanlah suara-suara macamtu. Selalu sematkan dalam hati, segala apa yang kita buat hanyalah semata-mata harapkan nilaian terbaik pada pandangan ALLAH. Kalau orang menilai anda sebagai orang yang hipokrit, suka tunjuk baik, usah pedulikan semua tu, kerana anda yang tahu, dan ALLAH itu lebih mengetahui setiap usaha anda untuk menuju ke arah redhaNYA. Walau apa pun yang berlaku, kuatkanlah hati supaya terus berusaha dalam memelihara solat, di samping berdoa supaya ALLAH bantu untuk kikis semua mazmumah yang dah bersarang dalam diri.

Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan
kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
(Al-'Ankabuut : 45)


Sebesar mana dosamu, sesungguhnya keampunan ALLAH itu jauh lebih besar.


Ok, sebagai satu usaha untuk khusyuk dalam solat, saya nak share makna-makna dalam bacaan solat kita agar kita dapat lebih menghayati isi solat kita. :)



Allahhuakbar
ALLAH Maha Besar (Cuba rasakan betapa hebat dan besarnya kuasa ALLAH, betapa kerdilnya kita di sisi ALLAH)

Doa Iftitah

ALLAH Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha suci ALLAH sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk ALLAH Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.

(Inna solati, wanusuki wamahyaya wamamati lillahhirabbil 'alamiin. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku adalah untuk ALLAH. Rasakan sepenuhnya bahawa solat ini, setiap amal yang kita lakukan, seluruh hidup dan mati kita hanyalah untuk ALLAH.)

Al-Fatihah

Dengan nama ALLAH yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani.
Segala puji bagi ALLAH Tuhan semesta alam.
Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Yang menguasai hari pembalasan.
Hanya Engkaulah yang kami sembah
dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan.
Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

Bacaan ketika rukuk

Maha Suci Tuhanku Yang Maha Agung dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika bangun dari rukuk

ALLAH mendengar pujian orang yang memujinya.

Bacaan ketika iktidal

Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian.

Bacaan ketika sujud

Maha suci Tuhanku yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika duduk di antara dua sujud

Wahai Tuhan, ampunilah daku, Rahmatilah daku, kayakan daku, angkatlah darjatku, rezekikan daku, berilah aku hidayah, sihatkanlah daku dan maafkanlah akan daku.

Bacaan ketika Tahiyat Awal

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk ALLAH. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat ALLAH serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba ALLAH yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh ALLAH. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

Bacaan ketika Tahiyat Akhir

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk ALLAH. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat ALLAH serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba ALLAH yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan ALLAH dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh ALLAH. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Doa Qunut

Ya ALLAH, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan ALLAH rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.


Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;
(Al-Baqarah : 45)


~Semoga post ni bermanfaat untuk diri saya sendiri dan sesiapa yang sudi baca, inshaALLAH. Sampaikanlah kepada yang lain walaupun hanya sebaris ayat. :)

~Marilah menunaikan solat. Marilah menuju kejayaan!

Thursday, January 12, 2012

Monday, December 5, 2011

Promosi Hebat Untuk Wanita

Salam Blog!

Harini sekadar nak share satu promosi hebat untuk semua perempuan yang ada di muka bumi ni. Promosi discount produk kecantikan ke? Bukan, bukan, bukan tu. Tapi, hari ni nak share jalan mudah ke syurga. Jalan-jalan yang ALLAH dah sediakan bagi memudahkan kita yang bernama wanita ini untuk menuju ke syurga. Apa dia tu? Jom baca lagi... :)


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Sabda Rasulullah s.a.w. : "Apabila seseorang wanita berbakti kepada suaminya, mengerjakan solat lima waktu, dan memelihara kehormatannya, nescaya dia akan memasuki syurga TUHANnya."(Riwayat Ahmad)
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Subhanallah, besarnya peluang yang ALLAH bagi untuk kita yang bergelar muslimah. Cuma kita sahaja, antara nak dengan nak tak. Ok, katakan taknak pada rokok! Tapi sanggup ke kita cakap tak nak pada syurga? Sedangkan syurga itu terlalu indah dan tak mampu digambarkan dengan kata-kata. Sedangkan syurga itu, bila dipandang sahaja, boleh buat kita terdiam kagum bertahun lamanya. Sedangkan syurga itu tempat yang membolehkan kita minta apa sahaja nikmat. Sedangkan syurga itu adalah tempat indah yang aman tanpa sengketa di mana semua penghuninya saling sering menghulurkan salam.

Berbakti kepada suaminya

Syurga itu tertutup keindahannya dengan jalan-jalan yang dirasakan sukar. Berbakti kepada suami bermakna kita harus bersedia dari aspek mental, rohani, dan jasmani. Bersedia untuk menjadi teman baik yang setia mendengar segala cerita, menjadi penguat tika duka, menjadi penyuntik semangat untuk menjadi hamba ALLAH yang lebih baik, menjadi chef sekaligus teman di meja makan, bersedia untuk menyayangi sepenuh hati, menjadi penasihat kewangan yang bijaksana, dan macam-macam lagi. Pendek kata, teramat banyak persediaan yang perlu dilakukan untuk memastikan suami sentiasa bahagia dan redha terhadap kita. Bukankah redha ALLAH itu terletak pada redha seorang suami? Banyak ilmu perlu dipelajari, seiring dengan usaha praktikal seiring teori yang kita baca. Justeru fikir-fikirkanlah, adakah berhubung terus-menerus dengan orang yang kita rasakan sebagai bakal suami itu mampu membantu meningkatkan diri kita, lalu menyediakan diri sebagai pakej isteri solehah idaman yang sedia berbakti untuk suami? Hakikatnya, persediaan diri ini tak mampu dibuat sekadar dalam sehari dua ataupun di saat seminggu menanti tarikh pernikahan. Menjadi solehah adalah ongoing process, kerana kita tak mampu untuk berubah secara drastik. Jadi, kalau seminggu atau sehari, tegakah kita menyerahkan diri yang masih belum mampu membahagiakan seseorang bernama suami?

Rumahku Syurgaku, perlukan usaha kita untuk merealisasikannya.


~Boleh click sini untuk tau antara ciri-ciri isteri solehah : (CLICK ME)


Mengerjakan solat lima waktu

Ini benda basic yang semua orang tau kan. Solat tiang agama, macam lagu kumpulan Saujana yang selalu keluar kat TV masa kita kecik-kecik dulu.. Sepohon kayu daunnya rendang, kalau tak sembahyang apa gunanya. Ya, hakikatnya solatlah perkara pertama yang akan dihisab nanti. Jadi, sila abaikan kata-kata yang berbunyi, "dah banyak benda baik yang aku buat kat dunia ni walaupun tak solat." Tapi kan, solat macam mana agaknya yang ALLAH pandang?

(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang -
(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;

(Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya),

Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya). (Al-Maa'un : 4-7)

Solat perlulah dilakukan dengan sepenuh hati dan bersungguh-sungguh, bukan bak kata orang, macam ayam patuk makanan. Kalau boleh, kita perlu faham setiap maksud dalam setiap rukun solat. Yakinlah, bila apa yang kita lakukan dengan anggota seiring dengan apa yang dilafazkan di lidah, juga yang kita benarjan dalam hati, cepat atau lambat, kita akan terhindar daripada melakukan perkara-perkara mungkar.

Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
(Al-'Ankabuut : 45)


Janji ALLAH adalah benar. Namun, kita juga perlu berusaha semampu kita untuk meningkatkan kualiti solat kita. Seperti yang tertulis dalam kalam ALLAH, surah Ar-Ra'd ayat kesebelas,

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."


Memelihara kehormatannya

Banyak sangat ayat ALLAH tentang bagaimana untuk kita memelihara kehormatan.

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (An-Nuur : 31)

Ada juga di dalam surah an-Nisa' ayat 34,

"Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya."

Tentulah suami merasa bahagia apabila isteri memperlihatkan kecantikan hanya untuk suaminya. Justeru, bahagiakanlah hati mereka dengan keluar daripada kebiasaan : berhias apabila keluar rumah, dan comot atau bosan dipandang bila berada di dalam rumah. Sebaliknya, jadilah wanita yang sentiasa berusaha untuk kelihatan cantik di hadapan suaminya.


Manfaatkanlah masa bergelar single (belum berkahwin) dengan menjadi benar-benar single. Huhu. Supaya masa tak disibukkan dengan perkara-perkara yang tak mendatangkan manfaat, dan paling menyedihkan bila mendatangkan murka ALLAH. Sediakan diri untuk jadi wanita solehah, inshaALLAH akan dapat yang soleh. Bila kita tinggalkan sesuatu yang semata-mata kerana mengharap keredhaan ALLAH, inshaALLAH kita akan merasa manisnya iman. :) Bersabarlah untuk beberapa ketika, agar kita dapat bahagia yang lebih lama. Di syurga dalam rumahtangga, dan syurga sebenar di akhirat nanti.

Sudah bertunang juga belum bererti kita sudah menjadi yang halal untuk dia.


Ok, bersedia untuk jadi wanita solehah, seterusnya mendapatkan syurga ALLAH? Usah bertangguh dan kita mulakan dari sekarang!


Let's start with the first step!

Wahai ALLAH, saksikanlah usaha kami untuk menggapai redhaMU, agar kami dapat bertemu denganMU di syurga nanti. Allahhumma aamiin.

~menulis untuk mengingatkan diri sendiri. :)

~Esok 10 Muharram kan? Jangan lupa puasa. Di samping tu, jom kita memperingati banyaknya kisah-kisah yang berlaku pada 10 Muharram ni. Mari sama-sama perbanyakkan baca Hasbiallah wani'mal wakiil. Ni'mal maulaa wani'mannasiir. Semoga bermula Muharram ini, diri kita menjadi jauh lebih baik daripada semalam. InshaALLAH. :)

Saturday, November 19, 2011

Bidadari

Salam. Hari ni saya nak bagi buah tangan bertajuk bidadari. Semoga para lelaki dapat menyuntik semangat untuk terus kuat beribadah, dan wanita terus meneguhkan diri untuk menjadi ketua bidadari. :)

"Uruban 'atraban (penuh cinta lagi sebaya umurnya)" (Al-Waqi'ah : 37)

Menurut Ibn Abbas, 'uruban ertinya bidadari ini sangat merindui dan mencintai suami-suami mereka. Mereka sering berkata, "Demi ALLAH, tidak ada di dalam syurga ini, sesuatu yang lebih indah daripada engkau. Demi ALLAH tidak ada di dalam syurga ini sesuatu yang lebih aku cintai daripada engkau." Demikian sebagaimana dinyatakan dalam hadis panjang riwayat Abu Ya'la daripada Abu Hurairah.

Kerana besarnya cinta seorang bidadari keada suaminya, mereka seringkali mengintip calon suaminya yang masih di dunia lagi. Mereka marah apabila melihat calon suaminya ini disakiti oleh isteri-isteri mereka di dunia.

At-Timirzi meriwayatkan daripada Muaz bin Jabal sabda Rasulullah saw yang bermaksud,

"Tidaklah seorang isteri menyakiti suaminya di dunia, melainkan isterinya dalam kalangan bidadari berkata, 'Celakalah engkau, ia hanya sementara bersamamu. Tidak lama lagi ia akan segera berpindah kepada kami."

Apabila kita renungkan berbagai-bagai nas yang menceritakan tentang bidadari syurga ini, kita akan dapati bahawa mereka ialah makhluk yang terlalu sempurna untuk dijangkau imaginasi manusia yang terbatas. Kecantikan, kejernihan, kelembutan, dan kewangian tubuh mereka mengatasi wanita mana pun di muka bumi ini.

ALLAH menyebut mereka dengan panggilan hurul ain, iaitu wanita yang berkulit putih dan bermata lebar dengan bola mata yang sangat hitam bak mata rusa yang sangat cantik. Begitu indah dan jernihnya tubuh mereka, sehingga seakan-akan mereka itu ialah permata yakut dan marjan. (Ar-Rahman : 58)

Dalam hadith al-Bukhari daripada Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud,

"Andai seorang wanita syurga menampilkan diri kepada penduduk dunia, nescaya teranglah apa yang ada di antara timur dan barat, penuhlah apa yang ada di antara kedua-duanya dengan wangian. Tudung yang menutup kepalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya."


MAS KAHWIN
Semua keindahan ini, bersama pelbagai keindahan lainnya yang tidak dapat kita bayangkan pada hari ini, disediakan untuk hamba-hamba ALLAH yang sejak di dunia menyediakan 'mas kahwin' untuk mereka. Dan mas kahwin itu tidak lain adalah pelbagai amalan ibadah dan pengorbanan di jalan ALLAH swt.

Imam al-Qurtubi dalam kitab al-Tazkirah bercerita tentang bapa Thabit al-Bunani, seorang ulama tabiin di Basrah. Suatu malam, beliau bermimpi melihat seorang wanita yang sangat cantik, tidak serupa dengan manusia mana pun.

Beliau bertanya kepadanya : "Siapa engkau?"

Ia menjawab : "Aku bidadari, hamba ALLAH."

Beliau berkata lagi : "Menikahlah denganku."

Wanita itu menjawab : "Pinanglah aku daripada TUHANku dan berilah mas kahwinnya."

Beliau bertanya : "Apa mas kahwinmu?"

Lalu ia menjawab : "Panjang bertahajjud."


Membayangkan kecantikan bidadari membuat setiap cabaran dalam ibadah terasa ringan. Keyakinan tentang bidadari membuat seseorang menundukkan pandangannya daripada aurat wanita di dunia.

Tutuplah auratmu kerana ALLAH, dan bantulah suamimu mendapatkan bidadari syurga.


WANITA-WANITA MUKMINAT LEBIH CANTIK DARIPADA BIDADARI SYURGA!

Secantik apa pun bidadari-bidadari ini, namun wanita-wanita mukminat jauh lebih cantik daripada mereka, iaitu orang-orang yang membasuh mukanya setiap hari dengan air wudhuk, melaksanakan solat, dan taat akan suaminya demi mencapai keredhaan ALLAH swt.

Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa,

Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh),


(Al-Waqiah : 35-36)


Menurut beberapa orang ahli tafsir, antara lain Abu al-Hasan al-Mawardi, ayat ini berbicara tentang wanita-wanita mukminat di dunia. ALLAH mengembalikan mereka menjadi gadis-gadis muda meskipun sebelumnya telah menjadi nenek tua yang lemah. Mereka akan dibangkitkan kembali sebagai wanita yang sangat cantik lalu dipersatukan kembali dengan suami-suami mereka di dunia.


KISAH UMMU DARDA'

Ummu Darda', nama asalnya ialah Hujaimah al-Himyariah. Beliau ialah isteri Abu Darda', seorang sahabat rasulullah saw yang hidup di Syam. Ummu Darda' dan Abu Darda' adalah pasangan bahagia.

Suatu hari, Ummu Darda' berdoa di hadapan suaminya, "Ya ALLAH, sesungguhnya Abu Darda' meminangku di dunia, lalu aku menikahinya. Maka sekarang aku meminangnya kepadaMU untuk menjadi suamiku di syurga."

Mendengar ucapan ini, Abu al-Darda' berkata, "Jika engkau ingin menjadi isteriku di syurga, janganlah menikah lagi setelah aku meninggal dunia."

Ummu al-Darda' seorang wanita yang cantik dan cerdas. Maka setelah Abu Darda' wafat, Khalifah Muawiyah bin Abi Sufyan datang untuk meminangnya. Namun, isteri yang setia dengan cinta pertamanya ini menolak pinangan tersebut.

Kisah Ummu al-Darda' mengingatkan kita bahawa cinta yang terjalin kerana ALLAH dan mengharapkan redha Ilahi tidak akan berakhir dengan kematian. Akan tetapi, akan terus menyala dan hidup kekal di dalam syurga abadi. :)


sumber asal : Majalah Solusi isu 24 - karya Umar M Noor.


~Terjumpa artikel dari blog lama yang dah hilang tu. Semoga bermanfaat untuk semua, dan juga diri sendiri yang menaip ni. :)

~Untuk para lelaki, semoga kisah bidadari akan menjadi inspirasi kalian dalam perjalanan meminang bidadari dunia dan bidadari syurga, inshaALLAH.

~Untuk para wanita, jom kita bersyukur dengan rupa kita apa adanya, dan usahakan untuk jadi isteri (atau bakal isteri) yang mentaati ALLAH dan suami. InshaALLAH kita akan jadi wanita yang lebih cantik daripada bidadari syurga.