Friday, January 13, 2012

SOLAT : Makna Bacaan Dalam Solat

Salam.

Hari ni 14 Januari 2012. Maksudnya, baru masuk 14 muka surat untuk buku 2012, dan kita ada lagi 351 muka surat untuk cantikkan jalan cerita dalam buku 2012. :) Semua orang mesti ada macam-macam azam kan. Tapi apa kata kita cuba jadikan tahun 2012 ni sebagai permulaan untuk kita jadi hamba yang benar-benar memelihara solat. Pelihara dalam erti kata solat di awal waktu, menghayati solat kita sepenuhnya supaya akan termanifestasi hamba yang dapat mencegah diri daripada melakukan kemungkaran. InshaALLAH.


"Perkara pertama yang diaudit ialah solat. Jika baik solat, baik amalan. Ia akar kepada amalan kita." - Dr Zaharuddin.


Kadang-kadang, saya perhatikan, ramai orang yang rasa diri banyak bergelumang dengan dosa, lalu rasa malu nak solat. Sedangkan, kalau solat itu diusahakan secara bersungguh-sungguh dengan terus-menerus, saya percaya solat itu sendiri akan menjadi kekuatan dalam membantu kita menghenti kemungkaran. Mungkin ada orang akan cakap, "Apa guna dia solat kalau masih buat maksiat.." Oh, saya harap anda abaikanlah suara-suara macamtu. Selalu sematkan dalam hati, segala apa yang kita buat hanyalah semata-mata harapkan nilaian terbaik pada pandangan ALLAH. Kalau orang menilai anda sebagai orang yang hipokrit, suka tunjuk baik, usah pedulikan semua tu, kerana anda yang tahu, dan ALLAH itu lebih mengetahui setiap usaha anda untuk menuju ke arah redhaNYA. Walau apa pun yang berlaku, kuatkanlah hati supaya terus berusaha dalam memelihara solat, di samping berdoa supaya ALLAH bantu untuk kikis semua mazmumah yang dah bersarang dalam diri.

Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan
kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
(Al-'Ankabuut : 45)


Sebesar mana dosamu, sesungguhnya keampunan ALLAH itu jauh lebih besar.


Ok, sebagai satu usaha untuk khusyuk dalam solat, saya nak share makna-makna dalam bacaan solat kita agar kita dapat lebih menghayati isi solat kita. :)



Allahhuakbar
ALLAH Maha Besar (Cuba rasakan betapa hebat dan besarnya kuasa ALLAH, betapa kerdilnya kita di sisi ALLAH)

Doa Iftitah

ALLAH Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha suci ALLAH sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk ALLAH Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.

(Inna solati, wanusuki wamahyaya wamamati lillahhirabbil 'alamiin. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku adalah untuk ALLAH. Rasakan sepenuhnya bahawa solat ini, setiap amal yang kita lakukan, seluruh hidup dan mati kita hanyalah untuk ALLAH.)

Al-Fatihah

Dengan nama ALLAH yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani.
Segala puji bagi ALLAH Tuhan semesta alam.
Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Yang menguasai hari pembalasan.
Hanya Engkaulah yang kami sembah
dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan.
Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

Bacaan ketika rukuk

Maha Suci Tuhanku Yang Maha Agung dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika bangun dari rukuk

ALLAH mendengar pujian orang yang memujinya.

Bacaan ketika iktidal

Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian.

Bacaan ketika sujud

Maha suci Tuhanku yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika duduk di antara dua sujud

Wahai Tuhan, ampunilah daku, Rahmatilah daku, kayakan daku, angkatlah darjatku, rezekikan daku, berilah aku hidayah, sihatkanlah daku dan maafkanlah akan daku.

Bacaan ketika Tahiyat Awal

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk ALLAH. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat ALLAH serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba ALLAH yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh ALLAH. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

Bacaan ketika Tahiyat Akhir

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk ALLAH. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat ALLAH serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba ALLAH yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan ALLAH dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh ALLAH. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Doa Qunut

Ya ALLAH, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan ALLAH rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.


Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;
(Al-Baqarah : 45)


~Semoga post ni bermanfaat untuk diri saya sendiri dan sesiapa yang sudi baca, inshaALLAH. Sampaikanlah kepada yang lain walaupun hanya sebaris ayat. :)

~Marilah menunaikan solat. Marilah menuju kejayaan!

Thursday, January 12, 2012