Saturday, March 17, 2012

Mengetuk Pintu Maghfirah

Salam.

Apa khabar semua pemirsa? hehe sebenarnya baru terpengaruh nak speaking indon lepas dengar puisi indah daripada Oki Setiana Dewi. Rasanya memang dah lama sangat tak betul-betul share sesuatu di blog ni.

Ok, dipendekkan cerita, sekarang saya sekadar nak share sedikit daripada apa yang saya dapat daripada kelas tafaqquh di Masjid Sultan Ismail, UTM Skudai. Haa, untuk warga UTM, jom kita sama-sama manfaatkan peluang untuk tambahkan ilmu dalam kelas tafaqquh setiap sabtu yang berkenaan dengan tauhid. (Tapi next week kelas tafaqquh diganti pada hari Rabu sebab ada kursus kahwin kat dewan mesjid.)

Tajuk yang Ustaz Azhari kupas untuk kelas hari ni adalah : Mengetuk Pintu Maghfirah.

Kata ustaz, cuba fikirkan, siapa yang paling sayang dan cintakan kita di dunia ni? Jawapannya tak lain dan tak bukan, mestilah ibu kita. Bukan best friend, bukan boyfriend, apa lagi bukan buayafriend atau gelifriend. Adakah kita dapat bayangkan yang seorang ibu tergamak nak campakkan anak sendiri ke dalam api? Mestilah tak kan.. tapi hakikatnya cinta ALLAH kepada kita itu jauh lebih besar daripada cintanya seorang ibu terhadap anaknya. Tak kiralah macam mana besar pun dosa seseorang itu, tapi keampunanNYA jauh lebih besar.

Dalam al-Quran ada banyak disebut nama-nama ALLAH yang menggambarkan sifat pengampun ALLAH. Antaranya adalah al-Ghaffar, iaitu Yang menutup dosa, Ghaafir iaitu Yang menghilangkan dosa. Justeru, bila rasakan diri kita sudah melakukan dosa, mohonlah ampun dengan penuh kesungguhan dan janganlah bangga ceritakan dosa yang pernah dilakukan kerana ALLAH telah menutup aib kita. Selain itu, ada juga nama lain yan menunjukkan betapa pengampunnya ALLAH dan selalu menerima taubat seperti at-Tawwab dan al-'Afuw.

Kata ustaz lagi, kadang-kadang bila seseorang belajar tentang tauhid, dia cuma tahu bahawa ALLAH itu wajar ditakuti. Tapi sebenarnya setiap hamba itu perlu punyai tiga perkara ini dalam konteks hubungan dengan ALLAH. Tiga perkara itu adalah rasa takut, harap, dan juga cinta.

1. Takut (khauf, khasyiah) - kita perlu sentiasa punyai rasa takut seandainya ALLAH murka terhadap apa yang kita lakukan.

2. Harap (raja') - seorang hamba itu perlu sentiasa punyai rasa harap bahawa ALLAH itu akan meredhai dan mengampunkan kita. Melalui rasa harap inilah yang dapat membantu kita dalam menghindari rasa putus asa daripada rahmat ALLAH.

3. Cinta (Hubb) - cinta kepada ALLAH ini dapat mendorong kita untuk sentiasa berterusan dalam melakukan amalan-amalan kerana ALLAH. Ya, bertaubat, dan beramal hanya kerana cintakan ALLAH, bukan bersandarkan cinta kepada yang lain.


Jom perhatikan ayat ni daripada surah Az-Zumar ayat 53 hingga ayat 58 :


[53]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[54]
“Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.


Wahai diri dan sahabat yang dikasihi, janganlah sampai kita putus asa dengan rahmat ALLAH kerana sesungguhnya ALLAH mengampunkan segala dosa. Jangan jadikan lidah manusia mahupun bisikan syaitan itu mampu untuk menjadikan kita putus asa dengan dosa yang telah kita lakukan. Kerana syaitan itu akan sentiasa menghasut manusia agar lemah dan akhirnya berputus asa denngan rahmat ALLAH, sedangkan hakikatnya ALLAH itu Maha Pengampun, Maha Mengasihani terhadap hamba-hambaNYA.

Contohnya, apabila seseorang ni dah rasa terlalu menyesal dengan apa yang dah dilakukannya, lalu mula bertaubat dengan melaksanakan syarat-syarat taubat iaitu menyesali diri daripada dosa lalu, berhenti melakukan dosa, dan berazam untuk tidak mengulanginya. Namun tiba suatu masa dia mengulangi kesilapannya di saat graf iman mulai menurun. Macam kata seorang kawan saya, bagi dia graf iman ni berbentuk sinusoidal. Pada saat itu, syaitan akan bisikkan pada dia bahawa selama ini taubatnya adalah sia-sia kerana dia masih mengulangi perbuatannya, dan yang bahaya adalah bila dia terus rasa malas untuk bertaubat dan akhirnya dia terus terbiasa menjalani hidup yang penuh dosa. Sedangkan sebenarnya ALLAH Maha Mengetahui akan sifat seseorang hamba yang lemah dan kita tidak boleh sesekali berputus asa lalu menjauhi taubat.

Dan tambah menyedihkan, ada mulut-mulut manusia yang sudah mulai melabel orang itu dengan sesuatu label sedangkan sebesar mana dosa seseorang manusia itu, pasti akan diampunkan sekiranya dia bersungguh-sungguh dalam taubatnya. Sebabtu juga, kita juga perlu sangat-sangat menjaga lidah kita agar tak menyebabkan mana-mana hamba ALLAH merasa lemah dan berputus asa dengan rahmat ALLAH melalui kata-kata.

Kata ibarat pedang, yang tajamnya bisa membunuh lawan. Kata-kata yang berhikmah menyedarkan kita.

[55]
“Dan turutlah – Al-Quran – sebaik-baik. (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya.

Jadikanlah al-Quran sebagai teman baik kita dan sebagai rujukan utama kita di saat kita sedih, resah, marah, atau gelisah. Rasakanlah bahawa ALLAH itu sangat dekat dengan kita setiap kali kita membaca dan menghayati kalam ALLAH yang sangat indah dan sempurna itu. Dalam Quran ada panduan, pujukan, kata-kata penguat jiwa, dan bermacam solusi untuk setiap permasalahan. Bukankah ALLAH itu yang menciptakan kita dan dunia ini serta segala isinya? Kerana itu sentiasalah kembali kepada ALLAH dalam apa jua masalah yang kita hadapi. :) Al-Quran itu bukan sekadar untuk dilagukan atau dipertandingkan suara siapa yang paling merdu, tapi sebenarnya isinya perlu kita ambil untuk diamalkan dan dijadikan panduan hidup.

[56]
“(Diperintahkan demikian) supaya jangan seseorang (menyesal dengan) berkata: ` sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipan-kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan (ugama Allah dan penganut-penganutnya)! -
[57]
“Atau berkata: ` Kalaulah Allah memberi hidayah petunjuk kepadaku, tentulah aku telah menjadi dari orang-orang yang bertaqwa ! ‘ -
[58]
“Atau berkata semasa ia melihat azab: ` Kalaulah aku dapat kembali ke dunia, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang mengerjakan kebaikan!”


Justeru, ingatlah sentiasa bahawa macam mana lemah pun iman kita, kita tetap perlu menjalankan taubat. Baginda Rasulullah yang maksum dan kita tahu peribadinya adalah akhlak al-Quran pun, sentiasa bertaubat 100 kali sehari. Ya, bertaubat itu bukan sekadar beristighfar, tapi melaksanakan komponen-komponen penting taubat itu, iaitu :

1. menyesal dengan dosa yang dilakukan
2. berhenti daripada melakukan dosa
3. berazam untuk tidak mengulangi dosa
4. menyelesaikan hal dosa dengan manusia

Kenapa setiap hari pun kena bertaubat? Sebab setiap hari kita sangat senang nak melakukan dosa tanpa kita sedari. Kadang-kadang kita dengan tak sengaja menghina orang meskipun cuma dalam hati, kadang-kadang kita terumpat rakan ataupun kenalan kita, dan bermacam bentuk dosa sama ada kita perasan, tak perasan, atau buat-buat tak perasan. Kadang-kadang orang kita terlalu sibuk rasakan isu zina atau liwat sebagai perkara besar, tapi hakikatnya mengumpat itu adalah bentuk dosa besar yang kita nampak macam ringan, sedangkan pada saat kita mengumpat tu dah tertulis catatan dosa besar pada buku amal kita. Nah, itu baru mengumpat, apa lagi bila kata-kata itu adalah tidak benar? Menceritakan sesuatu yang tidak benar itu adalah memfitnah, tak kira perkara itu dilakukan sekadar suka-suka, mahupun untuk menjatuhkan nama orang lain. Justeru lazimilah taubat, dan kikislah ego untuk meminta maaf terhadap sesama manusia.

Ok, sekian saja post untuk hari ni. Semoga ALLAH beri petunjuk dan bantuanNYA agar kita dapat menjadi hamba yang benar-benar bertaubat, dan semoga akhir hidup kita adalah dalam keadaan yang diampunkan, dicintai, dan diredhai. aamiin.


No comments:

Post a Comment