Thursday, August 11, 2011

Sutera Kasih

Salam. Hari ni nak share satu lagu favourite yang dinyanyikan oleh kumpulan nasyid In-Team. Lagu ni bertajuk Sutera Kasih.

Haritu try cari-cari lagu nasyid kat dalam folder handphone. Bila play je, terdengar lagu Sutera Kasih. Dalam hati, teringat saat-saat mula cuba mengenal cinta ALLAH dulu. Tiba-tiba Mama pun cakap benda yang sama. Mama cakap, rasa sayu dengar lagu ni sebab inilah antara lagu nasyid yang aku dengar masa mula-mula Mama dan Abah berpisah sebagai suami isteri.

Masa darjah enam, tiba-tiba aku terpaksa duduk rumah nenek kat kampung untuk ambik UPSR dengan keadaan selesa dan selamat. Masa tu sedih betul sebab terpaksa hilang rumah, kereta, Abah, jiran, kawan-kawan, dan macam-macam lagi. Tiba-tiba terpaksa sesuaikan diri untuk hidup kat kampung. Masa tu Mama baru start kerja sebagai cikgu tadika, dan dapat duduk kat satu rumah di Taman Universiti. Masa tu memangla terkejut dan susah nak sesuaikan diri. Daripada duduk bertiga dalam rumah yang ada lima bilik, terpaksa duduk berenam dalam satu rumah yang ada dua bilik. Tak pasal-pasal kena duduk dengan orang-orang yang bukan family.

Tapi dalam kesedihan tu, aku berkenalan dengan orang baik-baik. Antaranya ialah Kak Huda yang jadi housemate aku waktu tu. Masa tu baru aku faham, rupanya perempuan ni kena pakai tudung tutup dada, kena pakai stokin untuk tutup kaki, sebab semua tu aurat. Tapi semua tu tak dapat lagi isi kekosongan hati yang rasa terlalu berat sebab hilang macam-macam benda dalam sekelip mata. Lepastu setiap malam aku tengok Mama bangun malam untuk solat. Aku terfikir itu ke rahsia Mama nampak macam makin kuat untuk hadapi semua ni.

Sampai aku melangkah ke alam sekolah menengah, mula-mula aku masuk asrama Sekolah Menengah Datuk Penggawa Barat kat Pontian. Aku terpaksa berpisah jauh dengan Mama sebab Mama cakap, aku kena belajar berdikari, dan aku tak boleh duduk serumah dengan cikgu-cikgu tadika. Masa tu, sedihnya ALLAH je yang tau. Aku selalu telefon Mama sambil menangis dan mintak Mama ambik aku kat asrama. Tapi, masa tu Mama cakap, kalau kita cintakan seseorang lebih daripada ALLAH, ALLAH boleh ambil dia bila-bila masa je. Macam kita dah hilang rumah, Abah, kereta, dan harta. Sebabtu Najlaa kena cintakan ALLAH lebih daripada Mama.

Waktu tu aku tertanya-tanya sendiri, macam mana aku nak dapatkan cinta ALLAH. Dan malam itu, aku mulakan dengan memeluk Al-Quran sambil menangis dan aku cuba luahkan semuanya pada ALLAH. Entah kenapa, hati aku terasa lebih tenang waktu tu. Dan aku terus sematkan azam untuk dapatkan cinta ALLAH. Aku tak ada pilihan lain selain daripada mencari kekuatan untuk hadapi semua kejutan dan kekalutan waktu tu. Waktu pertama kali aku cuba untuk laksanakan solat tahajjud, cuma ALLAH yang tahu betapa indahnya. Bila sujud, terasa macam tak mahu bangun lagi. Rasa macam nak terus bercerita dan luahkan semuanya pada ALLAH. Waktu tu aku macam disapa angin sejuk yang menyejukkan dan melapangkan jiwa. Lapang selapang-lapangnya.

Sampailah aku melangkah masuk ke MRSM Mersing, aku terus tenang walaupun hidup aku dengan serba kekurangan berbanding dengan waktu Mama dan Abah masih bersama. Aku terbaca kisah Fatimah sebagai wanita yang bersujud bila lapar dan berzikir bila keletihan. Dan waktu itu saat aku lapar, tengok orang lain dapat makan sedap-sedap, aku cuma bersujud dan mengadu pada ALLAH. Setiap hari, aku selalu rindukan saat dinihari untuk aku ceritakan segalanya pada ALLAH Indahnya saat berkenalan denganMU ya ALLAH :)

Lagu Sutera Kasih ni antara yang selalu menemani hari aku waktu mula-mula aku cuba mulakan hijrah untuk jadi hamba yang mencintai dan dicintaiNYA. Semoga ALLAH beri kebaikan yang banyak untuk semua yang terlibat dalam pembikinan album In-Team yang pertama ni.

Ingatlah selalu cintakan bunga, bunga akan layu, hancur, dan musnah. Cintakan manusia, manusia akan pergi, manusia kadang-kadang tak tahu menghargai. Cintailah ALLAH yang kekal abadi. CintaNYA tulus suci, indahnya tiada tara, menyejukkan relung hati. Bila cintakan manusia, kita akan jealous tengok orang yang kita cinta sukakan orang lain. Tapi bila cintakan ALLAH, kita akan cinta siapa pun yang cintakan ALLAH dan yang dicintai ALLAH. Oleh itu, berhentilah mengejar cinta yang tak pasti.:)

Ok, jom layan lagu ni :)


SUTERA KASIH

Kian lama terpenjara
Mencari makna cinta
Dalam ungkap kata bersulam dusta

Bila gerbang rahmat terbuka
Menjelma cinta suci
Sehalus dan selembut sutera kasih

Terbentanglah tersingkap kebenaran
Terlerailah terbenam kepalsuan
Tuhan pada-Mu ada kedamaian

Diribaan-Mu kebahagiaan
Tiada lagi rasa kesangsian di hati
Cinta Mu cinta tulus suci murni
Kasih-Mu nan abadi

Bertautlah bercambahlah cinta
Mengharum dalam jiwa
Menemukan kerinduan syahdu
Pada yang Maha Esa

Sutera kasih membelai
Membalut kelukaan itu
Sutera kasih melambai
Mengisi kekosongan pengharapan

Rela pasrahkan kehidupan
Mengharungi cabaran
Rintangan perjalanan di hadapan

Doa dan titis air mata
Mendamba sutera kasih
Agar terus bersemi selamanya


~Hidayah milik ALLAH. ALLAH boleh bagi pada saat yang tak dijangka, dan bila-bila masa juga ALLAH boleh tarik balik hidayah. Ya ALLAH, janganlah KAU pesongkan hati-hati kami setelah KAU beri hidayah. Amiin.

~Dulu aku selalu bayangkan, alangkah indahnya kalau dapat bertemu dan berkumpul dengan orang-orang yang juga mahukan cinta ALLAH. Dan ALLAH dah perkenankan permintaan aku dengan mempertemukan mereka semua. Ya ALLAH, kuatkanlah aku agar terus istiqamah bersama mereka. Amiin.

~Take care! Selamat berbuka puasa untuk semua umat Islam, walau di mana jua anda berada. Salam ukhwah fillah untuk semua :)

No comments:

Post a Comment