Monday, August 1, 2011

Bulan Quran

Salam. Apa khabar? Semoga semakin bertambah usia Ramadhan, kita juga semakin bersemangat untuk beribadah, seterusnya mengejar peluang yang ALLAH berikan di sepuluh malam terakhir. InshaALLAH. :)

Semoga semua sahabat, mahupun kenalan yang jauh di mata dapat menghayati erti Ramadhan dengan penuh keinsafan, kesabaran, dan kesyukuran. Pada saat ini, mungkin ada yang bersedih kerana kehilangan orang yang tersayang, orang yang terlalu rapat dalam hati. Mungkin ada yang bersedih kerana kekurangan harta, bersahur dan berbuka apa adanya. Mungkin ada yang bersedih kerana sakit fizikal yang dihadapi. Mungkin ada yang bersedih kerana maruah diinjak-injak, difitnah, dicerca, dan dihina. Mungkin ada yang bersedih kerana berjauhan dengan semua yang tercinta. Mungkin ada yang bersedih kerana tak punya tempat untuk berteduh, terpaksa menumpang hidup di sana sini. Ya, dan manusia itu punya 1001 sebab untuk bersedih. Lalu semoga Ramadhan ini memberi sinar kekuatan untuk kita terus bersabar dan bertahan dengan ujian, di samping berusaha meningkatkan diri dan mencari jalan keluar daripada kesedihan.

Banyak perkara-perkara yang nampak mustahil telah berlaku dalam catatan sejarah. Sebenarnya, memang tak ada apa pun yang mustahil bila ALLAH mengizinkan sesuatu itu berlaku. Antara kisah yang dekat dengan kita dalam bulan Ramadhan ini adalah kisah kejayaan umat Islam dalam Perang Badar yang berlaku pada 17 Ramadhan tahun kedua hijrah. Bilangan tentera Islam yang sedikit melawan tentera Kuffar yang ramai ketika itu tidak memustahilkan kemenangan untuk umat Islam. Kerana mereka yakin dengan sebenar-benar yakin bahawa mereka ada ALLAH untuk membantu mereka. Lalu lapar dan dahaga tak dijadikan alasan untuk terus berjuang menegakkan kalimah ALLAH di muka bumi ini. Dan banyak lagi rentetan peristiwa kegemilangan umat Islam yang berlaku dalam bulan Ramadhan ini seperti Pembukaan Kota Makkah, kerajaan Islam menjatuhkan kerajaan Parsi pada tahun ke 15 Hijrah, Salahuddin al-Ayyubi dapat mengalahkan tentera salib pada tahun 584 Hijrah, serta peristiwa Mesir dan Syria dapat menumbangkan Israel di Semenanjung Sinai pada 1393 Hijrah.

Ada antara kawan-kawan yang tanya, 'Najlaa, larat ke kita nak habiskan khatam satu Quran masa Ramadhan ni?' Jadi jawapannya adalah, inshaALLAH larat. Katakan boleh, dan inshaALLAH kita akan boleh. (Wah, dah macam motivator pulak. hehe) Antara tips yang boleh diberi adalah, bawaklah Quran ke mana saja kita pergi. Tapi, mesti jagalah, jangan letak kat bawah, dan sebagainya. Ok, lepastu, tak perlu nak baca Quran macam nak bertanding muabaqah Al-Quran. Cukuplah baca dengan suara perlahan, atau mungkin tanpa suara. Dan lebih baik kita baca maknanya sekali, semoga dengan izin ALLAH, hati-hati yang keras ini akan jadi lebih lembut dan dekat dengan ALLAH. :) Bila dah letakkan target, macam satu atau dua juz sehari, kita mesti tegas dengan diri sendiri untuk capai target harian tu. Kalau sekiranya sehari tu memang super busy sampai tak sempat, bolehlah kita gantikan bilangan juz yang tertinggal tu pada hari yang lain. Boleh baca sambil tunggu bas, bila balik dari lecture, masa tunggu lecturer masuk, lepas solat, sebelum tidur, masa tunggu waktu berbuka, dan macam-macam lagi ruang masa. Di samping tu, mesti terus berdoa, supaya ALLAH berikan kekuatan untuk kita khatamkan satu Quran, dan dalam laksanakan ibadah-ibadah lain.

Jom kita contohi para Ulama' yang telah bersungguh-sungguh memperbanyakkan bacaan Al-Quran pada bulan Ramadhan. Ada antara mereka yang khatamkan Quran dalam tempoh tiga malam, ada yang khatam seminggu sekali, dan ada juga yang khatamkan dalam tempoh 10 hari sekali. Imam al-Syafi'i akan khatamkan Quran sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadhan.

Ramadhan juga dikenali dengan nama Shahrul-Quran. Permulaan turunnya Quran adalah pada bulan Ramadhan, pada malam Jibrail a.s. datang membacakan surah Al-'Alaq, ayat 1 hingga lima kepada Rasulullah. Pada bulan Ramadhan ini juga, Al-Quran diturunkan dari Lohmahfuz ke langit dunia. Al-Quran diturunkan pada malam malam Lailatulqadar, iaitu malam yang diberkati.

Pada bulan Ramadhan juga, Rasulullah s.a.w. dan Nabi Jibrail a.s. akan mengkhususkan waktu untuk mengulangkaji ayat-ayat Quran yang telah diturunkan kepada baginda s.a.w. Para Ulama' telah membuat kesimpulan bahawa disyariatkan agar mengkhatamkan Al-Quran pada bulan Ramadhan kerana pada setiap tahun, Rasulullah s.a.w. dan Jibrail a.s. mengulangkaji semua ayat-ayat Quran yang telah diturunkan kepada baginda sebelumnya. Malah pada Ramadhan tahun berakhir sebelum kewafatan baginda s.a.w., mereka telah mengulangkaji sebanyak dua kali.


Daripada Abdullah bin Mas'ud r.a., Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud :
"Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab ALLAH, maka baginya satu hasanah (kebajikan). Dan hasanah itu pula digandakan sebanyak 10 kebajikan seumpamanya. Aku tidak katakan 'Alif Lam Mim' itu satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf, dan Mim satu huruf."
Riwayat al-Tirmidzi no. 2910)


~Good habits are hard to form, but easy to live with. Bad habits are easy to form, but easy to live with. :)

~Sumber artikel adalah tulisan Dr. Abdul Basit Abdul Rahman atau dikenali sebagai Dr Abu Anas Madani. Sabtu lepas, Dr baru je ada di masjid UTP :)

~Semoga semua yang dilakukan semata-mata kerana ALLAH. 'Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanyalah kerana ALLAH Tuhan Sekelian Alam.' InshaALLAH.

~Ketenangan dan keceriaan inshaALLAH dapat diraih bila hati selalu dekat dengan ALLAH. Salam ceria di bulan Ramadhan! :) :) :)

No comments:

Post a Comment