Friday, July 29, 2011

Ramadhan Datang Lagi!

Salam.

Apa khabar semua? Macam mana agaknya persediaan untuk menyambut Ramadhan yang bakal tiba? Atau mungkin kita lebih sibuk memikirkan baju-baju yang akan dipakai masa raya nanti?

Bila sebut tentang Ramadhan, aku pun teringat seronoknya time meronda satu bazar UTM, sebab time tulaa boleh jumpa dengan kawan-kawan dari fakulti lain. Dan aku pun akan jadi rambang mata sebab banyak sangat pilihan makanan yang sedap-sedap. Puding caramel, samosa, nasi kerabu, nasi goreng dua ringgit tapi sedap, bermacam-macam puding, dan banyak lagi. Tapi nampaknya tahun ni bazar UTM dah tak ada sebab waktu cuti dah dianjak jadi lebih panjang. Tahun ni aku terpaksa berbelanja di bazar tempat orang kaya-kaya yang harga memang mahal-mahal. Huhu. So, backup plan adalah, lebihkan masak daripada beli :) InshaALLAH :)

Tapi hakikatnya, bukan itu keseronokan yang ALLAH janjikan masa Ramadhan. Ada banyak sangat bonus yang ALLAH offer dalam bulan ni, cuma semua tu terpulang pada kita nak dapatkannya ataupun lepaskan offer yang ALLAH dah bagi. Jom tanya diri sendiri, adakah kita nak jadi orang yang setakat menahan lapar dan dahaga, atau orang yang berpuasa dengan penuh keimanan serta memanfaatkan masa sebulan Ramadhan untuk mendapatkan semua kelebihan yang ada di dalamnya?

Ok, jom kita tengok apa amalan sunnah Rasulullah yang boleh kita buat sepanjang Ramadhan. Jangan lepaskan peluang keemasan yang datang setahun sekali je ni. Tahun depan belum tentu kita dapat jumpa dengan Ramadhan.


1. Bersahur

Bersahur adalah amalan sunnah dan amat digalakkan. Sahur merupakan pembeza antara puasa Muslim dan puasa Yahudi.

"Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan."
(Riwayat al-Bukhari no. 1923 dan Muslim no. 1095)

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Sebaik-baik sahur orang mukmin ialah tamar."
(Riwayat Abu Daud, ibn Hibban dan baihaqi)


2. Niat puasa

Yang ni penting! Tanpa niat, puasa kita cuma dapat kurang berat badan je, tapi tak ada makna pun. Bermulanya waktu niat puasa fardhu adalah setelah masuk waktu solat maghrib dan berakhir ketika azan Subuh.


3. Solat

Sepanjang hari berpuasa dalam bulan Ramadhan, jom kita sama-sama jaga solat berjemaah di samping memperbanyak solat sunat.


4. Membaca al-Quran

Usahakanlah untuk khatamkan satu quran dalam bulan Ramadhan ni. Caranya mudah je, mesti target untuk khatamkan satu juz setiap hari. Selagi tak habis satu juz, jangan bagi diri sendiri untuk tidur. Hehe. Orang lelaki lebih senang, sebab inshaALLAH boleh target satu juz sehari. Tapi buat perempuan, adalah dinasihatkan untuk target dua juz sehari, sebab mungkin bilangan hari berpuasa kita tak sama dengan lelaki. Benda ni jadi mudah kalau kita sentiasa bawak Quran bersama. Sambil tunggu bas, boleh baca Quran, tunggu lecturer masuk boleh baca sikit, sambil tunggu kawan bersiap nak ke bazar pun boleh baca. Jadikanlah al-Quran sentiasa di sisi anda :) Bila kita sibuk dengan target untuk habiskan satu juz, inshaALLAH hati dan mind kita tak sibuk menerawang ke mana-mana yang boleh kurangkan pahala puasa.


5. Sedekah

Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. adalah manuia yang paling dermawan. Sifat dermawan baginda amat terserlah pada bulan Ramadhan. Baginda s.a.w. ditemui Jibrail setiap malam pada bulan Ramadhan, lalu baginda bertadarus al-Quran dengannya. Rasulullah s.a.w memiliki sifat dermawan pada kebaikan lebih daripada angin yang berhembus.
(Riwayat al-Bukhari no. 5 dan Muslim no. 4268)

Ini pun kita boleh buat target ikut kemampuan kita. Mungkin boleh letak seringgit satu hari, boleh lebih atau kurang. Yang penting adalah ikhlas, untuk bantu mereka yang memerlukan dan mengharapkan redha ALLAH :)


6. Memberi makanan kepada orang untuk berbuka puasa

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti yang diperoleh orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut."
(Riwayat al-Tirmizi dan Ahmad)

Sesekali, belikanlah makanan berbuka untuk housemate, atau mungkin boleh masakkan lauk berbuka untuk family.
Aman Palestin pun ada projek untuk mereka yang bermurah hati nak bagi orang Palestin makanan berbuka. Boleh klik sini : http://amanpalestin.net/salam.php?kategori=projek_ramadhan


7. Segerakan berbuka

Rasulullah bersabda yang bermaksud,
"Umatku sentiasa dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa dan mengakhirkan sahur." (Riwayat Ahmad n0. 20350)

~Yang ni, inshaALLAH mudah je, sebab semua orang memang tak sabar nak buka kan. Hehe.


8. Sunat berbuka dengan kurma

Hadith Rasulullah s.a.w. daripada Anas bin Malik r.a. : "Rasulullah s.a.w. pernah berbuka dengan rutab (kurma basah) sebelum splat. Kalau tidak ada rutab, maka Baginda memakan tamar (kurma kering) dan kalau tidak ada tamar, maka baginda meminum air, seteguk demi seteguk." (Riwayat Abu Daud no. 2356, al-Dar Qutni no. 240)


9. Solat sunat tarawih

Solat ini special sebab cuma ada dalam bulan Ramadhan je. Bilangan rakaatnya adalah tidak terbatas selagi termampu. Ada pendapat yang menyatakan 41, 39, 29, 23, 13, dan 11. Semestinya rakaat yang lebih banyak berserta keikhlasan adalah yang terbaik. :)

Jom kita cuba untuk solat tarawih berjemaah setiap malam. Kalau ada kesukaran untuk ke mesjid, boleh juga bertarawih di rumah :) Biasanya kat mesjid area rumah aku ni buat 23 rakaat je. Teringat masa kecik ikut arwah uwan pergi solat tarawih dan menangis masa sujud sebab dah mengantuk. Huhu.


10. Iktikaf

Ibn Umar r.a. meriwayatkan : "Rasulullah s.a.w. beriktikaf pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadhan." (Riwayat al-Bukhari no. 1885)

Ustaz Syed Mohd. Fadzli al-Yamani ni cakap, pakej termahal pada musim Ramadhan ialah iktikaf pada akhirnya sambil menghidupkan dengan amalan seperti solat, membaca al-Quran, berdoa, beristighfar, berzikir, dan apa-apa sahaja bentuk amalan soleh.

Aisyah r.ha berkata,
"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. apabila masuk 10 hari terakhir Ramadhan (dengan amal ibadah) dan mengejutkan ahli keluarga." (Riwayat al-Bukhari)

Dan dalam 10 malam terakhir ni, ALLAH dah janjikan lailatulqadar, di mana malam ini adalah lebih baik daripada seribu bulan. Jom berlumba-lumba kejar redha ALLAH! :)


11. Jauhi dosa dan maksiat

Sesungguhnya limpahan rahmat, berkat, dan keampunan dosa dalam bulan Ramadhan tidak terkira. Jadi, awasi dan berusaha menegah diri daripada segala dosa dan maksiat zahir dan batin sepanjang melayari bahtera Ramadhan kerana ujian keimanan tidak kenal erti penat lelah.

~Untuk yang rajin online, jom sama-sama restrictkan apa yang kita boleh tengok dan tak boleh. Dalam dunia tanpa sempadan yang semuanya ada di hujung jari ni, senang juga kita nak dapat dosa dengan satu kali klik je.


12. Cari ilmu.

Lengkapkan diri dengan ilmu-ilmu asas puasa seperti rukun, syarat sah dan syarat wajib puasa serta perkara-perkara yang merosakkan puasa. Kejahilan tentang ilmu tersebut boleh menjejaskan penerimaan puasa seseorang.

Ramadhan adalah sebuah sekolah untuk menjadikan umat ini hamba yang taat lagi patuh serta menanamkan akhlak yang mulia. Dan paling penting maksud puasa ialah membuahkan sifat taqwa yang merupakan sumber kejayaan di dunia dan sebaik-baik bekalan di akhirat. :)

Kumengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna.



~Untuk menyambut Ramadhan yang bakal tiba ni, adalah amat digalakkan untuk membeli majalah Solusi isu ke-34 ni. Banyak artikel dan fakta menarik berkenaan Ramadhan. Ada jugak proposal Ramadhan, agenda ibadah seharian, dan jadual checklist Ramadhan. Kalau tak pun, boleh buat jadual checklist sendiri, untuk kita make sure kita dpat capai target Ramadhan ni. :)

~Sumber : Fiqah amali, majalah Solusi keluaran ke-34.



Salam Ramadhan ya semua!

No comments:

Post a Comment