Wednesday, July 13, 2011

Luka Itu Mengajar Aku


Dalam hidup ini, aku mungkin bukan yang sempurna.
Banyak luka yang terpaksa aku lalui,
dan ada di antara luka yang meninggalkan parut.
Namun aku selalu bangga dengan diri yang selalu mahu belajar dari kesilapan lalu,
cuba mengutip tiap butiran hikmah di balik semua kekalutan, ketakutan, dan kegelapan.
Bangga yang lahir dari rasa syukur.
Kerana aku tahu, DIAlah yang sentiasa menghadirkan kekuatan.
DIA berikan ujian demi ujian untuk melahirkan watak seorang wanita yang tabah, kuat jiwa. Kerana hidup tak seindah sentuhan mata.
Kerana luka, hari-hariku lahir bagai seorang pemikir.
Aku menghisab diri, merenung indahnya ciptaan DIA,
menginsafi lemahnya makhluk tanpa KHALIQnya.



Kerana luka, pekat malam menyaksikan aku menjadi pujangga
Tarian pena melukis seribu rasa di jiwa
Ah, bukan semua derita itu harus dicerca
Ya, mungkin ada parut yang mencacatkan
Namun aku sudah ada hati yang berani
Untuk aku tempuhi apa jua di hadapan
Semalamku mungkin ada kisah duka,
kisah ngeri menyayat hati
Yang aku pendam jauh sejauhnya dalam lubuk jiwa
Namun luka itu yang mengajar aku
Betapa syurga itu indah namun jalannya susah
Lalu kepayahan itu tak harus dipersia dengan setitis pun putus asa
Jalan yang berliku menguatkan aku
Untuk terus bangun dan melangkah
Kerana pasti ada kesenangan selepas kesusahan
Andai bukan di dunia, pastinya di syurga.
Janji-janjiNYA terus bergema menguatkan sukma
Kerana luka itu yang mengajar aku.

No comments:

Post a Comment