Thursday, July 14, 2011

Kerana Indahnya Rupa


Salam.

Hari ni tiba-tiba rasa terpanggil nak tulis entry tentang cari pasangan hidup ni. Hehe. Aku selalu berbual tentang kehidupan ni dengan Mama, dan tak terkecuali tentang hal nikah kahwin ni.

Sangat mengerikan bila kita tengok keadaan masyarakat hari ni, dengan kadar perceraian yang semakin meningkat, dan bertambah juga kelompok mereka yang mahu terus kekal dengan status 'single'. Yelah, bila melihatkan ramai teman-teman lain yang melayari bahtera rumahtangga, tapi karam di tengah lautan, masing-masing pun mula mempersoalkan di mana relevannya hal nikah kahwin ni, sedangkan ramai yang mula merasa boleh berdiri atas kaki sendiri meskipun tanpa pasangan yang berlainan jantina. Kadang-kadang perempuan merasakan lelaki sekadar orang yang mengongkong kehidupan, suka mengarah dan marah-marah. Lelaki pulak merasakan perempuan ni cuma makhluk yang suka habiskan duit, meleter, dan mereka dah tak nampak adanya istilah 'rumahku syurgaku'.

Tapi betullah tu. Kalau dulu aku cuma nampak ramai suami yang menduakan (atau mentiga, mengempatkan) isteri, entah kenapa sekarang ni dah ramai jugak isteri yang berlaku curang dengan suami. Dah banyak jugak cerita tentang suami orang dan isteri orang bercinta di office. Ada isteri orang yang mula terkenangkan kekasih lama, lalu tanpa rasa berdosa terus terpedaya dengan janji manis kekasih yang bukan suami. Na'udzubillahhimindzalik. Kami berlindung dengan nama ALLAH daripada perkara-perkara macamtu.

Bila berlaku macamtu, kadang-kadang orang akan cakap, oh patutlah, isteri dia cantik. Ada seorang makcik yang beritahu aku, itulah akibatnya bila cinta lantaran rupa yang cantik. Akhirnya, kecantikan rupa itulah yang memusnahkan jiwa sendiri. Akhirnya isteri yang dipilih kerana cantik itulah yang berlaku curang saat bertemu cinta yang lain. Bila cinta itu adalah kerana indahnya rupa, dan bukan kerana indahnya agama, bersedialah untuk berdepan dengan risikonya.



Antara masalah yang boleh dihadapi bila mendapat pasangan yang cantik / handsome :

1. Mahu sentiasa kelihatan cantik di khalayak ramai, dan bukan untuk kelihatan cantik di hadapan pasangan yang halal untuknya - pakai segala macam masker di muka bila depan suami, tapi bila keluar rumah pakai makeup tebal-tebal. Suami pun berfikir-fikir, cantiknya isteri itu untuk dia ataupun lelaki lain?

2. Ego - Dia tak peduli pun kalau mungkin mengecilkan hati suami / isteri, sebab baginya satu pergi sepuluh yang datang. Paling bahaya bila suami dah jadi bagai lembu dicucuk hidung yang mengikut semua kemahuan isteri lantaran terlalu memuja kecantikan isteri.

3. Banyak godaan yang datang dan tak ditepis dengan iman dan ilmu. Suasana romantis dalam rumahtangga semakin hambar seiring dengan usia yang bertambah. Namun isteri yang masih cantik ini didatangi godaan daripada lelaki lain yang dilihatnya lebih daripada suaminya. Sedangkan dia terlupa bahawa hakikatnya syaitan yang berperanan mengindahkan wajah lelaki / perempuan yang bukan suami / isteri sendiri.

4. Masalah jiwa - orang cantik selalu tak boleh tahan bila nampak orang lain yang lebih cantik, mula tertekan saat kedutan mula bertambah sedangkan itulah sunnatullah. Yang kecil akan meningkat dewasa, yang muda tetap akan tua. Lalu segala macam teknologi digunakan - botox, plastic surgery, etc.




Ya, ada yang cakap perlukan isteri yang cantik supaya dapat keturunan yang cantik, handsome, comel-comel. Tapi yakinkah kita bahawa anak-anak yang cantik itulah yang akan menyejukkan mata dan hati kita?

Memang tak semua orang cantik macamtu. Aku pun jumpa ramai orang yang cantik lengkap dengan pakej baik dan mentaati suami. Cuma, maksud aku ni adalah orang yang cantik, selalu rasa diri cantik, dan yang terlalu dipuja suami kerana cantik. Ramai orang dah kahwin beritahu aku, bila dah kahwin nanti, bukan cantik atau handsomenya yang penting, tapi orang yang baik itulah yang akan menyenangkan hati kita. Yelah, cuba fikir sendiri, senang ke hati kalau isteri cantik macam Natalie Portman tapi malas nak mengemas sebab takut kulit berkedut, dan sebagainya. Seronok ke kalau dapat suami handsome macam Orlando Bloom tapi kedekut tenaga nak tolong uruskan hal-hal rumah. Hehe.

Rasulullah dah pesan, Wanita dinikahi kerana empat perkara : hartanya, keturunannya, kecantikan, dan agamanya. Maka pilihlah wanita kerana agamanya, maka kamu akan selamat.

Percayalah, bila isteri tu seorang yang takutkan ALLAH, walaupun tak berapa cantik, inshaALLAH dia adalah seorang yang menyenangkan hati. Sebab baginya, syurga seorang isteri terletak pada keredhaan suami. Apalah ertinya dapat isteri cantik, tapi isteri itulah yang buat kita selalu pening kepala, tak boleh nak terima keluarga kita seadanya, dan selalu melawan cakap kita. Apalah ertinya bila ada isteri cantik tapi rahsia keluarga sampai ke mana-mana, keaiban suami didedahkan dan selalu banding-bandingkan suami dengan lelaki lain.

Oleh itu, marilah kita semua betulkan niat untuk berumahtangga - dapatkan pasangan yang membantu kita kejar redha ALLAH, yang boleh bantu kita untuk perbaiki hubungan sesama manusia, yang boleh didik anak-anak menjadi anak yang soleh solehah, musleh muslehah. Marilah berusaha jadi orang yang baik, kerana ALLAH dah janjikan bahawa perempuan baik untuk lelaki baik dan lelaki baik untuk perempuan yang baik. Jadikanlah kecantikan itu sebagai ciri terakhir dalam kriteria pemilihan pasangan. Letakkanlah agama sebagai yang teratas, kerana ALLAH, bukan kerana mahu dipandang sebagai keluarga beragama. :)


(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia. (An-Nuur : 26)

Untuk yang dah pilih perempuan cantik, didiklah dia dengan baik supaya dapat jadi isteri yang baik. Usahlah berlebihan memuja kecantikannya hingga melebihkan dia daripada ibu yang lebih perlu diutamakan.

Andai merasakan sudah tersalah pilih pasangan, usah bersedih kerana pasti ada ganjaran untuk orang yang sabar. Bukan kerana diri tak cukup baik, tapi mungkin itu sebagai ujian untuk menaikkan darjat kita di akhirat nanti. Asiah wanita beriman pilihan ALLAH juga terpaksa bersuamikan suami sekejam dan seangkuh Firaun. Nabi Nuh rasul ALLAH juga hadapi ujian kerana anak dan isterinya tidak beriman dengan ALLAH.

Semoga sejarah dan cerita sekeliling mengajar kita agar tak terjatuh dua kali ke dalam lubang yang sama.

Semoga kita sentiasa berusaha agar kita dipandang cantik di pandangan ALLAH. Cantik kerana bersihnya hati tanpa hasad dengki, cantik kerana indahnya akhlak, cantik kerana cintanya kita pada ALLAH, cantik kerana taatnya kita pada makhluk kerana ALLAH.

Doa senjata mukmin. Jadi, usah malas untk berdoa. Doa dengan penuh harap dan yakin :

Rabbana hablanaa min azwajinaa wadzurriyyatinaa qurrata a'yun waj'alnaa lilmuttaqiina imamaa
"Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.
(Al-Furqan : 74)


Cari cari carilah pasangan hidup betul-betul oh kawan,
bahagia berseri rumahtangga akan harmoni ;)


~Jadilah lelaki yang baik, bertaqwa - yang takutkan ALLAH dengan sebenar-benar takut. Bidadari syurga yang cantik tak terperi akan menjadi temanmu di syurga. Bukankah syurga adalah tempat rehat yang kekal abadi.. :)

~Jadilah isteri solehah yang mentaati suami kerana ALLAH, semoga kelak akan menjadi ketua untuk para bidadari :)

~Perkahwinan bukan seindah anggapan kita. Perlukan usaha kedua-dua belah pihak untuk merealisasikan frasa 'rumahku syurgaku' dalam alam rumahtangga. Perlukan pergantungan yang total pada bantuan ALLAH, perlu perbetulkan jalan sebelum dan semasa di alam rumahtangga, inshaALLAH.

Saya mahu jadi yang terindah di pandangan ALLAH :)

4 comments:

  1. tak nak jadi macam orlando bloom

    ReplyDelete
  2. kalau x nak jadi orlando bloom, then nak jadi johnny depp ke? huhu

    ReplyDelete
  3. nice post .. betul tu, manusia xblh nk lari daripada tgk bende2 yg cantik..tgk baju cantik terasa nk beli .. tp baju cantik tu pun last lusuh jugak .xkekal...yg penting perelokkan akhlak .. :)

    ReplyDelete
  4. yupp, ada org cakap, kalau muka je cantik tapi perangai menyakitkan hati cantik pun hilang serinya. tp kalau muka biasa2, perangai baik, baru membahagiakan. :)

    ReplyDelete